bestari

Nasi pelangi selepas hujan pikat juri

Oleh Nas Norziela Nasbah

Masakan isi ikan selar kuning dan udang tempura tiga rasa mangga bersama nasi pelangi selepas hujan membawa tuah kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint (SKPP) 9 (2), Putrajaya apabila dinobatkan juara Pertandingan Memasak Edupalm Peringkat Kebangsaan.

Kumpulan yang dianggotai Muhammad Farhat D’nish Mohd Hizam, Mohammad Zul Affendy Johunuy dan Nur Aleeya Maisara Mohd Fadzlan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 untuk sekolah, wang tunai RM150 untuk setiap ahli kumpulan; sijil penyertaan dan satu unit dapur masak gas mudah alih.

Mohammad Farhat D’nish berkata, idea untuk masakan itu adalah hasil perbincangan ahli kumpulan bersama-sama guru pengiring, Hamidah Shaary, Nuraslindar Juhari dan Azmaliza Muhaidin.

“Terdahulu, kami menyertai pertandingan memasak peringkat sekolah dan tiga penyertaan terbaik terpilih untuk ke peringkat kebangsaan. Selepas berbincang berkenaan resipi, kami membuat latihan bersama-sama guru pengiring.

“Tempoh sejam yang diperuntukkan dimanfaatkan sebaik-baiknya dan setiap ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing untuk menghasilkan masakan yang memenuhi cita rasa juri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung di SKPP 9(1) adalah program rintis tajaan Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan menerusi Unit Sokongan Akademik yang diamanahkan untuk menguruskan aktiviti kokurikulum bersama Kementerian Industri Utama (KIU).

Pada pertandingan itu, tempat kedua dimenangi SKPP 16(2) dan tempat ketiga, SKPP 11(3).

Semua hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Kaur Sron disaksikan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Rozainum Ahmad, Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago KIU Dr Sugumari Shanmugam, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roani Jaafar dan Guru Besar SKPP 9(1) Norzah Mohd Kassim.

Sementara itu, Belvinder berkata, penganjuran pertandingan bertemakan Gaya Hidup Sihat dengan Minyak Sawit Malaysia itu bertujuan memupuk kesedaran lebih mendalam berkenaan khasiat dan kebaikan minyak sawit dalam masakan.

Katanya, menjadi tugas MPOC untuk meneraju promosi minyak sawit dan juga meningkatkan kesedaran serta penggunaan minyak sawit di dalam atau luar negara.

“Melalui program rintis seperti ini, diharapkan murid akan menjadi lebih peka berkenaan khasiat pemakanan harian yang banyak berhubung kait dengan minyak sawit.

“Selain itu, program ini juga diharap dapat memupuk minat generasi muda supaya lebih prihatin berkenaan sawit sebagai satu daripada komoditi utama negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 12:03pm
d