bestari

Promosi bidang vokasional

Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin

Sebanyak enam Kolej Vokasional (KV) mengambil bahagian dalam Program Pengantarabangsaan Jerayawara Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Beijing, China, baru-baru ini.

KV terbabit ialah KV Shah Alam, KV Kuala Selangor, KV Leboh Cator, KV ERT Setapak, KV Alor Setar dan KV Dato Lela Maharaja yang turut menandatangani 12 Nota Persefahaman (NoU) dengan lima institusi di negara tembok besar itu.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya yang turut bersama-sama dalam lawatan berkenaan menyifatkan polisi ‘One Belt, One Road’ negara itu boleh membawa perkembangan yang baik terutama dalam usaha mempromosi pertukaran dan kerjasama pragmatik.

Beliau berkata, pertukaran idea antara institusi vokasional Malaysia dan China sangat bertepatan dalam usaha mempromosikan bidang vokasional bagi kedua-dua negara seperti persefahaman dua hala serta persahabatan antara belia.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Sahabat Beijing, Liu Yuhong berkata, program itu dapat mempromosikan lagi hubungan Malaysia-China khususnya dalam pertukaran idea membabitkan pendidikan teknik dan vokasional untuk tempoh masa panjang.

Terdahulu, delegasi dari Malaysia turut mempamerkan hasil kerja pelajar KV dalam usaha memperkenal dan mempromosikan bidang TVET negara di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Mantapkan sistem pendidikan

Menerusi program itu, delegasi dari Malaysia berpeluang mempamerkan hasil kerja pelajar KV dalam usaha memperkenal dan mempromosikan lagi bidang TVET negara ini.

Pengarah KV Shah Alam Norhayati Abdul Rahman berkata, pameran daripada wakil pelajar KV terpilih adalah sangat signifikan untuk memperlihatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari penuntut kolej berkenaan.

Katanya, pandangan daripada pensyarah dan pegawai dari negara itu dapat dijadikan nilai tambah sekali gus memantapkan sistem pendidikan teknik serta vokasional di negara ini.

“Bagi saya, lawatan ini perlu dilihat dari sudut kejuruteraan China yang terkenal dengan pemasaran produk dan strategi yang sangat praktikal.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman baharu kepada pelajar yang menyertai lawatan ini dalam usaha merealisasikan objektif penubuhan KV iaitu melahirkan 10 peratus usahawan berjaya,” katanya.

Rombongan warga kolej vokasional yang terdiri daripada 62 peserta itu tidak melepaskan peluang melawat beberapa tempat seperti Tembok Besar China, Kota Larangan, Stadium Sarang Burung, Medan Tiananmen dan Istana Musim Panas.

Destinasi pilihan

Pada lawatan itu, KV Shah Alam berjaya menandatangani NoU dengan Beijing Information Management School dan Beijing Changping Vocational School.

Program yang diadakan itu, mendapat kerjasama Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kedutaan Malaysia di China (Seksyen Pendidikan Malaysia Beijing) serta Persatuan Sahabat Beijing (Beijing People Foreign Friendly Association) di China.

Di bawah koordinasi dan sokongan daripada Suruhanjaya Pendidikan Daerah (China), Persatuan Sains Daerah (China) dan ketiga-tiga Pejabat Luar Negeri Xicheng, Haidan dan Chanping, menemukan enam kolej vokasional ini dengan Beijing Agricultural Vocational College, Beijing Jiatong Vocational and Technical College, Beijing Information Management School, Beijing Chanping Vocational School dan Beijing Jinsong Vocational High School.

Jinsong Vocational High School menjadi destinasi pilihan Persatuan Sahabat Beijing untuk dikunjungi oleh rombongan warga kolej vokasional.

Institusi vokasional yang berpusatkan industri perhotelan ini ternyata hebat dengan segala kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) moden dan canggih.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 12:16pm
d