bestari

Pelajar teruja gagau ikan

Oleh Samadi Ahmad

SERAMAI 36 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, Kuala Lumpur teruja menyertai program Indahnya Desaku Tercinta di inap desa Villa Gemilang, Kampung Parit 6, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Semua peserta terdiri daripada pelajar tahun enam yang selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan rata-ratanya merasai suasana kampung buat kali pertama.

Bermain lumpur sambil menggagau ikan di sawah menjadi kegiatan yang menyeronokkan. Apatah lagi ikan yang dilepaskan dalam sawah itu sangat licik menyembunyikan diri dalam lumpur dan sukar ditangkap.

Seorang pelajar, Jasmine Hasya Junaidi berkata, pengalaman menggagau ikan bersama rakan dan guru itu sangat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila kakinya terbenam dalam selut beberapa kali.

Jasmine Hasya berkata, paling menyeronokkan apabila dia dan rakan menerkam ikan keli yang muncul di permukaan air tanpa berasa takut disengat.

Beliau yang juga Ketua Murid SK Bukit Damansara berkata, pengalaman manis dilalui itu akan menjadi kenangan dan ingatan sepanjang hidupnya.

Pengawas Pusat Sumber, Tay Wui Ni berkata, pada mulanya dia berasa sukar untuk menyesuaikan diri terutama dalam aktiviti menggagau ikan kerana terpaksa bergelumang dengan lumpur yang mengotorkan pakaian.

Tay berkata, selepas dipujuk rakan barulah dia faham kerana aktiviti itu memberi motivasi kepada dirinya dalam merasai kesusahan dan kepayahan masyarakat kampung untuk mencari rezeki menyara keluarga.

“Sekiranya diberi peluang, saya berhasrat untuk datang semula ke situ kerana tempat itu banyak meninggalkan kenangan manis yang terpahat di hati bersama rakan sekolah,” katanya.

Sementara itu, penyelaras program, Mohd Faiz Hamim berkata, aktiviti menggagau ikan itu adalah sebahagian daripada program Indahnya Desaku Tercinta yang bertujuan mendedahkan pelajar dengan kehidupan masyarakat kampung kerana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah merasai kehidupan di desa.

Mohd Faiz berkata, program kali kedua diadakan itu menjadi aktiviti kokurikulum luar pelajar yang diilhamkan pihak sekolah selepas menduduki UPSR bagi mempelajari cara kehidupan di desa.

Menurut beliau, walaupun di peringkat awal mereka mendapati sesetengah pelajar kekok untuk menyertai aktiviti yang diadakan itu, namun akhirnya mereka merasa gembira dan teruja kerana aktiviti diadakan itu sangat menyeronokkan.

“Pelbagai aktiviti diadakan terdiri daripada membuat dan menaikkan layang-layang, menumbuk dan menampi padi, mengopek kelapa, membelah, mengukur dan memerah santan kelapa, membuat orang-orang, berkubang dalam tali air, sukaneka dan memancing ikan,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 5:01am
d