bestari

Pusat terapi kanak-kanak autisme

Oleh Fazurawati Che Lah

KEPERLUAN pembelajaran terhadap kanak-kanak berkeperluan khas semakin diutamakan ibu bapa bagi memastikan anak istimewa ini dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, Johor dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd (Penawar) menubuhkan Pusat Terapi & Pembelajaran Little Genius bertujuan memberikan fokus kepada aktiviti terapi dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas (autisme).

Pusat terapi itu adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di kampus universiti awam (UA) di Malaysia.

Terletak di Rumah Alumni, pusat terapi itu turut dibuka kepada umum dengan kehadiran di luar jangkaan apabila 250 keluarga mendaftar dan hadir untuk mendengar taklimat yang diberikan.

Ketua Penyelidik bagi Kumpulan Penyelidik Community Development & Education (CDE), Dr Dayana Farzeeha Ali, berkata CDE akan mengendalikan pusat itu secara bersama dengan Penawar Special Learning Centre (PSLC).

“CDE ialah kumpulan penyelidikan yang membuat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang pendidikan dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM Johor Bahru.

“Kami akan mengendalikan aktiviti penyelidikan dan kajian kes berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak berpenyakit autisme, sementara sesi terapi dan pengurusan pusat ini akan dijalankan PSLC yang berpengalaman dalam memberikan khidmat terapi autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pusat terapi berkenaan selepas memberikan taklimat di hari terbuka pusat itu, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof Madya Dr Yusof Boon dan wakil PSLC, Ruwinah Abdul Karim.

Menurut Dr Dayana, idea menubuhkan pusat ini tercetus melalui beberapa pembabitan beliau dalam program kesedaran autisme. Melalui hasil penyelidikan beliau turut mendapati ramai anak staf UTM dan komuniti sekitar Johor Bahru yang berkeperluan khas.

“Kebanyakan ibu bapa dan ahli keluarga mempunyai kesedaran di tahap yang tinggi berkenaan kepentingan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas ini, tetapi tidak mampu menghantar anak masing-masing kerana kos yang dikenakan agak tinggi.

“Oleh yang demikian, penubuhan pusat ini yang mengenakan yuran berpatutan iaitu serendah RM70 setiap sesi, diharapkan dapat membantu mana-mana ibu bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan untuk terus mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Menurutnya, hasil kewangan yang diperoleh dari pusat ini sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam akaun tabung endowmen bagi membantu penuntut UTM yang kurang berkemampuan menamatkan pengajian masing-masing di UTM.

Katanya, melalui pusat itu juga, masyarakat akan dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak berkeperluan khas sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.

Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi ceramah berkaitan dengan masalah pembelajaran, ceramah belajar melalui bermain, pemeriksaan saringan autisme secara percuma, sesi terapi percuma, aktiviti kraf tangan dan kesenian untuk anak.

“Selain memberikan khidmat terapi, pusat ini juga berkeupayaan untuk melatih ibu bapa dan penjaga bagi menangani kerenah anak autisme,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 1:44pm
d