bestari

Kosmetologi lubuk jana pendapatan

Oleh Fazurawati Che Lah

KOSMETOLOGI jarang didengar oleh masyarakat kita, oleh itu mungkin ada yang menganggap bidang itu berkaitan kosmetik atau dandanan semata-mata.

Sebenarnya, kosmetologi adalah satu bidang kemahiran yang menawarkan pelbagai perkhidmatan membabitkan kecantikan dan kesihatan tubuh dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Perkhidmatan kecantikan dan kesihatan itu selalunya dikaitkan dengan spa.

Industri spa di Malaysia semakin berkembang dengan bilangan pengusaha yang semakin meningkat saban tahun. Tidak hairanlah jika industri itu menjadi satu daripada produk pelancongan terkemuka di negara ini dan membuka banyak peluang pekerjaan.

Ketua Program Kosmetologi, Kolej Vokasional ERT (KVERT) Setapak, Kuala Lumpur, Suhana Ibrahim berkata, bidang kosmetologi itu bakal berkembang pesat, seterusnya menjadi antara industri utama negara.

Katanya, industri kecantikan dan kesihatan mampu menjadi lebih berdaya saing dengan industri perkhidmatan lain seiring kehendak serta gaya hidup masyarakat yang mementingkan kesihatan dan penampilan.

“Biasanya, orang menganggap terapi kecantikan dan spa ini untuk kecantikan saja, sedangkan ia juga medium penjagaan kesihatan.

“Contohnya, rawatan spa membabitkan mandian dan urutan sangat baik untuk tubuh seseorang maka tidak hairanlah apabila industri ini mendapat tempat dalam masyarakat terutama yang mengambil berat mengenai kesihatan tubuh,” katanya.

Katanya, penggemar perkhidmatan spa bukan saja terdiri daripada wanita, malah lelaki juga semakin ramai mengunjunginya bagi tujuan kesihatan dan penampilan diri.

“Industri ini juga mampu dijadikan satu daya tarikan kepada pelancong asing untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan kecantikan.

“Tarikan itu sekali gus membantu menjana kewangan negara dan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda,” katanya.

Menurut Suhana, di KVERT terdapat program kosmetologi menawarkan kursus berkaitan rawatan muka asas, perkhidmatan rias kuku, dandanan rambut, penggayaan rambut, terapi urutan badan, membuang dan mencerahkan bulu roma, elektroterapi badan, rawatan ‘decollete’ (urutan payu dara) dan perkhidmatan inai mengikut peringkat pengajian.

Katanya, pelajar yang mengikuti program kosmetologi diberi latihan kursus dan profesional bagi memastikan mereka memenuhi kehendak industri.

“Berikutan perkhidmatan kesihatan dan kecantikan menawarkan sesuatu yang lebih unik serta eksklusif kepada pelanggan, jadi mereka perlu memiliki kemahiran tinggi termasuk penggunaan peralatan moden bagi memastikan servis diberikan dapat memuaskan hati pelanggan.

“Ini akan menjadi satu tarikan kepada pelanggan untuk mendapatkan semula perkhidmatan kita pada kemudian hari,” katanya.

Suhana berkata, kursus pemasaran turut diajar kepada pelajar bagi membantu mereka untuk memasarkan dan melariskan produk serta menarik perhatian pelanggan.

Beliau berkata, sejak program itu ditubuhkan pada 2012, KVERT melahirkan 90 lepasan Diploma Vokasional Malaysia dalam bidang kosmetologi.

“Daripada jumlah itu, lebih 90 peratus pelajar bekerja sama ada dalam industri atau memiliki perniagaan sendiri dan selebihnya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.

“Diharap pelajar lepasan kolej vokasional terutamanya bidang kosmetologi tidak mensia-siakan kemahiran yang mereka gilap sepanjang pengajian,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 12:45pm
d