bestari

Tingkat nilai insaniah mahasiswa

Oleh Sarah Aina Shawal

Program Sekolahku Hospitalku anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah inisiatif mendedahkan pelajar dalam mendekatkan diri dengan masyarakat.

Ketua Projek, Arrafatul Husna Ramli berkata, program yang dilaksanakan pada setiap sesi semester itu membabitkan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan pesakit kanak-kanak terdiri daripada pesakit talasemia serta rawatan harian.

Katanya, program itu turut memberi ruang kepada pelajar dari aspek kemahiran sosiolinguistik dalam mengendalikan komunikasi terhadap pesakit yang secara tidak langsung mampu mengaplikasikan kaedah psikolinguistik tatkala berhadapan dalam sesuatu situasi.

“Penganjuran program ini, tidak hanya memberi impak implisit kepada pesakit, malah mampu menyemai nilai ihsan kepada penganjur.

“Sepanjang dua jam, peserta memberi pendedahan subjek Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris melalui pelbagai kaedah seperti pertandingan melukis, mewarna, mengenali perkataan dan huruf daripada kedua-dua bahasa itu,” katanya.

Arrafatul Husna berkata, rata-rata pesakit yang menyertai program ini memberi reaksi positif dan bersemangat dalam menjalankan setiap aktiviti disediakan selain berasakan ia sesuatu yang perlu diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA, Mohd Faradi Mohamed Ghazali berkata, program itu adalah kerjasama fakulti dengan pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang sering dilaksanakan secara sukarela bagi sesi semester pengajian dengan membabitkan pelajar berbeza bagi setiap sesi.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan hampir tujuh kali bagi setiap dua minggu setiap semester.

“Usaha ini bukan sahaja sebagai pendekatan ke arah memperkasakan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar dengan komuniti setempat, malah mampu mempertingkatkan penjenamaan UniSZA sebagai sebuah universiti berorientasikan Universiti Komuniti,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:42am
d