bestari

Tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

Oleh Fazurawati Che Lah

PUSAT Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kursus pembelajaran Bahasa Inggeris LAX kepada mahasiswa bagi mempelajari bahasa dalam situasi yang fleksibel, menyeronokkan dan kurang tekanan.

Bahasa Inggeris LAX ialah aktiviti kokurikulum Bahasa Inggeris yang menggalakkan pelajar untuk mempraktikkan bahasa itu di luar kelas dalam suasana sebenar.

Pensyarah Bahasa Inggeris dari CALC, Siti Nadhirah Abd Rahman berkata, pelajar seharusnya memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka dan menggunakannya semasa di dalam kelas dengan sebaiknya dengan bercakap dan menulis supaya lebih mahir.

“Kadangkala pelajar tidak mendapat peluang untuk menggunakan bahasa Inggeris di luar kelas dan mereka malu untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau juga mengatakan bahawa sesetengah pelajar berasakan mempelajari bahasa Inggeris hanya memberi sedikit kelebihan kepada mereka.

“Segelintir pelajar berasakan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka sudah cukup bagus, tetapi di kemudian hari golongan itu akan berhadapan masalah kerana kegagalan bercakap dengan baik,” katanya.

Penuntut Ijazah Komunikasi UPM, Ong Wei Jun berkata, satu daripada faktor utama menyebabkan fenomena itu terjadi ialah kerana pelajar gemar berada dalam zon selesa.

“Mereka biasa bertutur dalam bahasa ibunda dan takut untuk bercakap menggunakan bahasa lain.

“Kurang yakin dengan kebolehan berbahasa Inggeris menyebabkan mereka memilih untuk tidak menggunakan bahasa itu kerana takut diketawakan,” katanya.

Bahasa Inggeris menjadi satu daripada bahasa terpenting di dunia kerana digunakan dalam percakapan dan penulisan.

Kira-kira 375 juta orang menggunakan bahasa Inggeris, malah menjadi bahasa rasmi di lebih 50 negara.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 11:01am
d