bestari

Budaya fotokopi

Oleh Fazurawati Che Lah

“BUKU fotokopi lebih murah kosnya berbanding harga buku asal terutama buku import. Baru-baru ini saya membuat satu salinan fotokopi buku rujukan.

“Malah buku itu adalah buku import yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Harga asal mencecah RM60, berbanding fotokopi hanyalah RM11.30,” akui seorang penuntut dari sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota yang sekadar mahu dikenali sebagai Sofia.

Katanya, jika membeli buku berkenaan di pasaran, ia hampir enam kali ganda lebih mahal berbanding kos melakukan fotokopi.

“Ya, mungkin saya melakukan kesalahan, tapi saya tidak mampu untuk membeli buku asli. Malahan, tempahan perlu dibuat jika ingin beli buku seperti ini.

“Sememangnya berbaloi kalau fotokopi saja sebab duit pinjaman yang diperoleh banyak lagi hendak dibelanjakan khususnya untuk kegunaan harian,” katanya.

Kesedaran mengenai kesalahan melakukan fotokopi tanpa kebenaran pemiliknya memang wujud dalam kalangan pelajar dan ironinya, budaya berkenaan seakan-akan meresap sebati dalam masyarakat kita. Seolah-olah budaya dan amalan itu dibenarkan selain amat sukar dibendung daripada terus berleluasa.

Apatah lagi, ia umpama cendawan tumbuh selepas hujan apabila perniagaan atau kedai fotostat yang sinonim dengan nama ‘xerox’ menjadi tumpuan terutama dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak sekian lama.

Ia masih dan tetap menjadi pilihan pelajar yang ‘evergreen’ dan berasakan ‘halal’ memiliki buku, makalah, sumber rujukan dan apa-apa saja dokumen berkaitan dalam kuliah walaupun tidak begitu ketara berbanding 10 atau 20 tahun lalu.

Pensyarah kebiasaannya akan mengusulkan buku tertentu untuk dibeli pelajar sebagai rujukan dalam kuliah namun harganya agak mahal.

Maka sudah tentulah pelajar akan ada perasaan tersepit antara dua pilihan, mahu membeli dan memiliki buku rujukan asli atau terus berjimat-cermat dalam penggunaan wang perbelanjaan.

Menjelaskan mengenai budaya fotokopi, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, isu berkenaan agak luas spektrumnya untuk dibahaskan kerana membabitkan ramai pihak dan cabaran yang berangkai.

Katanya, budaya itu satu senario yang tidak sepatutnya digalakkan kerana seolah-olah membiasakan dan membenarkan pelajar terbabit dengan kegiatan mencuri hak intelektual.

“Fotokopi adalah usaha pengambilan hak seseorang melalui cara yang tidak dibenarkan undang-undang dan seharusnya setiap individu berasa terpanggil untuk mematuhinya sepanjang masa walaupun tanpa penguatkuasaan tegas.

“Tapi, pada masa yang sama, kita juga perlu cakna dengan keadaan kewangan pelajar yang secara amnya adalah terhad.

“Fotokopi bahan ilmiah selalu menjadi pilihan pelajar kerana kosnya yang lebih rendah jika dibandingkan dengan kos buku asal, namun perlu diingat kesalahan dari segi undang-undang tetap kesalahan walau apa pun keadaan dan alasannya,” katanya.

Kos buku yang dibayar bukan hanya untuk membiayai kos percetakan semata-mata, namun turut membabitkan kos penyelidikan, penulisan, penyuntingan, susun atur, grafik dan banyak lagi.

“Menjadi hak setiap individu yang terbabit dalam penghasilan buku untuk menerima keuntungan yang sepadan sebagaimana diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Katanya, jika dilihat dari aspek si empunya diri, individu atau badan yang diberi hak untuk menerima keuntungan daripada buku atau bahan penulisan itu, isu fotokopi mempunyai dua sisi iaitu negatif dan positif.

“Negatifnya kerana bayaran yang seharusnya diterima tidak diperoleh orang yang sepatutnya kerana pelajar yang melakukan fotokopi buku ilmiah akan membayarnya kepada pusat fotokopi.

“Namun menariknya, ada sisi positif untuk si penulis buku ilmiah dalam hal ini, secara tidak langsung, jika bukunya difotokopi dengan meluas, ini akan menjadi platform promosi untuk diri, buku dan bidang penyelidikannya.

“Tambahan pula, bukunya banyak digunakan dalam bidang yang berkaitan dan ini bakal meningkatkan relevan karyanya untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, Islam membenarkan amalan itu atas dasar keperluan yang amat mendesak seperti masalah kesempitan kewangan atau keperluan meruncing untuk mendapatkan naskhah asal.

“Ini bermaksud

perbuatan fotokopi dibenarkan bagi kegunaan peribadi sahaja dan bukanlah untuk mengaut keuntungan atau tuntutan berupa faedah lain yang berlawanan dengan tujuan asal,” katanya.

Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan mahasiswa, institusi pengajian tinggi seharusnya menambah kuantiti buku rujukan yang diperlukan di perpustakaan masing-masing supaya ia dapat dipinjam dan dijadikan rujukan pelajar sepanjang pengajian.

Pensyarah perlu bekerjasama dengan pihak perpustakaan dalam mencadangkan buku rujukan yang sepatutnya dari semasa ke semasa.

Bagi mengelakkan budaya ‘xerox,’ katanya, pelajar perlu kreatif dalam menggunakan sumber di Internet dalam mencari buku rujukan berbentuk elektronik.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:31pm
d