bestari

PTSS bimbing bakal mahasiswa

Oleh HM Digital

POLITEKNIK Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis membimbing pelajar lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mengadakan program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis 2019, baru-baru ini.

Kem selama tiga hari itu membabitkan 67 pelajar lepasan sekolah.

Pengarah program, Amirul Faris Razali berkata, program itu bertujuan melatih bakal mahasiswa supaya bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepemimpinan negara pada masa akan datang berpandukan elemen kebitaraan serta kesukarelawanan.

Katanya, hasrat itu diusahakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai prasyarat penting ke arah pembinaan sahsiah unggul, pembentukan bangsa mampan dan pembinaan tamadun yang tinggi.

“Program ini diharap melahirkan bakal mahasiswa berjiwa kental dan berketrampilan mendepani arus globalisasi kian mencabar untuk pembentukan jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang mantap,” katanya.

Pada masa sama, program Perkampungan Menara Gading Peringkat Negeri Perlis turut diserikan dengan aktiviti seperti debat, universiti medium pembinaan perwatakan, Le Tour De Campus dan latihan dalam kumpulan.

Peserta turut didedahkan dengan kehidupan di kampus dan latihan ke arah membentuk peranan mahasiswa dari segi kepemimpinan serta pembentukan keperibadian unggul selaras kehendak Islam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS, Rosnizam Kamis ketika merasmikan majlis penutupan itu berkata, melalui aktiviti berkenaan peserta dapat memahami dan merasai keadaan serta suasana kehidupan di kampus.

“Secara tidak langsung program ini menimbulkan minat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada ke politeknik atau universiti.

“Diharap program ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan tempat pengajian di institut pendidikan tinggi (IPT) nanti,” katanya.

Peserta program, Siti Rabiatul Aisyah Zakaria dari Sekolah Menengah Agama Al Alawiyah Ad Diniah, Arau berkata, program itu berjaya menambah ilmu dalam kalangan lepasan sekolah untuk menyambung pengajian ke IPT.

“Kami didedahkan dengan pengurusan sebagai mahasiswa dan ini sekali gus menjadi sebahagian persediaan untuk melangkah ke alam kampus,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 1:30pm
d