bestari

UNITAR bawa kelainan kempen hari terbuka

Oleh HM Digital

UNITAR International University (UNITAR) melancarkan Kempen Biar Betul, Semua Boleh Masuk U! bagi pengambilan penuntut baharu, April ini.

Susulan kempen itu, Hari Terbuka UNITAR turut diadakan, baru-baru ini yang dihadiri bintang bola sepak pasukan PJ City FC antaranya, Safee Sali, Beom-Geum Bae (Beom), Subramaniam Sooryapparad (Subra), Annas Rahmat (Annas), Rajesh Perumal (Rajesh), Marcus Mah Yung Jian (Marcus) dan Sergio Paulo Nascimento Filho (Sergio).

Turut serta, pegawai kelab termasuk jurulatih K Devan.

Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Puvan Balachandran berkata, pengambilan sesi kali ini sangat unik apabila pasukan PJ City FC hadir untuk meraikan penuntut dan kunjungan itu sebahagian daripada aktiviti penerokaan bagi program kerjasama industri.

“Berteraskan platform jenama #URFuture Bermula Di sini sudah menjadi tanggungjawab UNITAR memberi pendidikan berkualiti kepada semua untuk melahirkan golongan profesional yang menepati keperluan industri.

“Penuntut dilengkapkan dengan empat dimensi C.A.R.E, iaitu Collaborative (Kerjasama), Adaptive (Penyesuaian), Reflective (Cerminan) dan Entrepreneurial (Keusahawanan).” katanya.

Menurutnya, UNITAR sentiasa berusaha meluaskan jaringan kerjasama bukan sahaja tertumpu pada sektor korporat dan akademik semata.

“Usaha kerjasama industri inovatif sebegini bertujuan memberikan peluang untuk penuntut kami terbabit dalam bentuk latihan industri, projek kursus hinggalah peluang kerja dalam bidang kegemaran mereka seperti bola sepak, muzik, e-sukan dan sebagainya,” katanya.

Pengarah Pemasaran UNITAR Mike Sim pula berkata, PJ City FC adalah kelab bola sepak yang berjiran dengan institusi itu di Petaling Jaya.

Katanya, sebagai universiti yang beroperasi di Petaling Jaya sejak 22 tahun lalu, UNITAR sentiasa membabitkan diri dalam projek kerjasama komuniti yang dapat mengembangkan bandar raya itu sebagai tempat yang sesuai untuk didiami, bekerja dan belajar.

“Tambahan pula bola sepak adalah sukan yang paling diminati belia di Malaysia, membuatkan PJ City FC calon utama untuk meneroka usaha julung kali kami, bagi jalinan kerjasama industri inovatif sebegini,” katanya.

“Dengan Kempen Biar Betul, Semua Boleh masuk U! yang sudah bermula sehingga 22 April nanti, kami mengalu-alukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk hadir pada Hari Terbuka UNITAR.

“Ia berlangsung empat hari bagi dua sesi lagi iaitu 23 hingga 24 Mac dan seterusnya pada 30 hingga 31 Mac. Kita menawarkan pelbagai peluang yang berbaloi untuk direbut,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNITAR Dr Noor Raihan Abd Hamid menyifatkan Hari Terbuka UNITAR kali ini sebagai sesi sesi durian runtuh buat lepasan SPM serta mereka yang berkerjaya dan ingin meningkatkan pencapaian akademik.

“Kami membuka peluang seluasnya kepada mereka yang berminat dan dengan kempen ini, semua mampu masuk UNITAR dengan hanya menggunakan keputusan SPM,” katanya.

“UNITAR menyediakan program asasi percuma, manakala peringkat diploma dari RM13,000 dan ijazah dari RM30,000. Kos pengajian di UNITAR ditanggung sepenuhnya PTPTN dan penuntut boleh mendapat sehingga RM5,000 kos sara hidup melalui promosi ini,” katanya.

Noor Raihan berkata, aspek kemampuan, kos dan apa sahaja membabitkan kewangan tidak lagi menjadi faktor utama golongan itu dalam memilih pusat pengajian.

Maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh layari www.unitar.my atau talian tetap di +603 7627 7200 atau email enquiries@unitar.my untuk sebarang pertanyaan.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 12:29pm
d