bestari

Impak pencemaran plastik

Oleh Fazurawati Che Lah

PENCEMARAN alam sekitar terutama berpunca daripada produk berasaskan plastik dikhuatiri meningkat pada kadar yang amat membimbangkan.

Berbeza dengan sifat sisa bahan bukan organik lain, plastik mengambil masa yang lama untuk terurai secara semula jadi.

Bergantung kepada komposisi dan struktur kimia­nya, ada jenis plastik yang mengambil masa sehingga 400 tahun untuk terurai.

Walaupun secara dasarnya plastik boleh dikitar semula, apabila dibebani dengan pelbagai kos tambahan seperti pengumpulan dan pembersihan, proses ini tidak menjadi keutamaan industri.

Dikatakan hanya sembilan peratus plastik dikitar semula daripada 6.3 bilion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia sejak mula diperkenalkan pada 1950-an.

Lebih memburukkan keadaan, setiap tahun, dianggarkan sehingga lapan juta tan metrik sisa plastik memasuki sistem perairan dunia dan berakhir di lautan.

Pencemaran ini menjejaskan fisiologi kehidupan marin yang mungkin memberi kesan jangka panjang.

Aspek pendidikan dilihat mempunyai potensi untuk memberi impak kepada situasi pencemaran alam sekitar ini.

Selain mengambil bahagian dalam aspek pengurusan sisa, isu kelestarian alam sekitar yang berkait juga boleh dijadikan elemen penting dalam membentuk generasi bertanggungjawab.

Atas dasar itu, mahasiswa dari Kelab Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program larian yang mengetengahkan impak penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi UM, Dr Rosazlin Abdullah berkata, program Run for the Environment: Towards Zero Plastic Lifestyle disertai lebih 200 peserta yang berlari sejauh lima kilometer mengelilingi kampus UM.

“Berbeza dengan program larian lain, peserta perlu melalui lima stesen aktiviti yang direka khusus bagi memberi pendedahan mengenai peranan dan impak plastik dalam kehidupan kita,” katanya.

Menurutnya lagi, pendedahan melalui kaedah rekreasi santai sebegitu diyakini mampu membantu dalam proses pemahaman isu yang dibawa.

“Walaupun pendedahan berkenaan isu kelestarian alam sekitar sudah banyak diketengah dan dijuarai pelbagai pihak, namun usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna perlu terus dilakukan.

“Peningkatan sisa plastik, jika dibiarkan, mampu memudarat ekosistem bumi, sama ada di darat mahu pun di laut, terutama penghasilan sisa plastik bersaiz mikro yang berisiko memasuki tubuh manusia,” katanya.

Program itu turut menerima kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Rimba Ilmu UM, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Kumpulan Latihan Kelanasiswa UM, dan SWCorp Wilayah Persekutuan.

Menariknya, di setiap stesen disediakan aktiviti yang direka khas supaya dapat memberikan maklumat dan pendedahan yang berbeza kepada peserta.

Dr Rosazlin berkata, aktiviti di setiap stesen diselia sukarelawan dari rakan penganjur yang menyediakan aktiviti berbeza dan menarik.

“Ketika di Rimba Ilmu contohnya, peserta perlu melalui laluan yang berbeza menurut pilihan beg yang bersesuaian apabila membeli-belah di pasar raya.

“Pilihan beg yang betul akan membenarkan peserta untuk meneruskan larian ke stesen berikutnya. Di stesen aktiviti terakhir, mereka diminta untuk menyelamatkan patung penyu daripada lilitan plastik dan membawanya ke garisan penamat. Menariknya, peserta dibenarkan membawa patung penyu ini sebagai cenderahati program,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 7:30am
d