bestari

Tawan Gunung Nuang

Oleh Fazurawati Che Lah

BERMATLAMAT untuk menghargai alam sekitar, Management and Science University (MSU) menjalankan program MSU My Mountain Project di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Seramai 300 penuntut dan kakitangan MSU menjayakan projek yang bermatlamat untuk meng­galakkan warganya dan masyarakat memulihara alam sekitar.

Di samping itu, ia juga memenuhi objektif global menurut Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

MSU My Mountain Project juga antara kesinambungan program MSU Environment Sustainability Project (MESP) yang menyaksikan pembukaan semula Gunung Nuang iaitu kemuncak tertinggi (1,493 meter) di Selangor yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Lipur Hulu Langat.

Kemuncak berkenaan ditutup kepada sebarang aktiviti pendakian oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sejak Januari tahun lalu.

Program ini menjadi permulaan kepada MSU untuk menjadikan Gunung Nuang sebagai pusat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti berfokuskan Cure, Care, Conserve selama tempoh lima tahun.

Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan termasuk penanaman pelbagai spesies pokok, menaik taraf kemudahan dan pembinaan penunjuk arah, pembangunan sistem pendaftaran serta komunikasi mudah alih tanpa wayar (mobile wireless communication) untuk pendaki.

Projek itu turut membabitkan kerjasama antara MSU dengan agensi kerajaan, rakan industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir menyempurnakan program My Mountain Project, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Tengku Amir Shah berkenan untuk mencemar duli bersama Prof Mohd Shukri dan Prof Junainah menanam pokok spesies tongkat ali (Eurycoma Longifolia) sebagai simbolik perasmian program MSU My Mountain Project.

Selain itu, menanam pokok spesies resak daun panjang (Vatica Yeechongii) dan melepaskan ikan air tawar di Sungai Lolo bersama warga MSU.

Aktiviti pendakian ke Kem Lolo dan laluan denai hutan di Hutan Simpan Hulu Langat turut disertai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Briged Infantri Ke-11, Angkatan Tentera Malaysia.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 9:09am
d