bestari

Kerjaya pengacara majlis

Oleh Fazurawati Che Lah

PENGACARA majlis atau MC (master of ceremony) memainkan peranan yang sangat penting dalam mengemudi sesuatu majlis rasmi ataupun tidak rasmi.

Ini kerana majlis rasmi tidak bermula selagi pengacara belum bersedia. Merekalah orang yang akan membuat pengumuman dan memberi arahan atau panduan kepada tetamu yang mengambil bahagian dalam setiap acara.

Bukan senang untuk menjadi pengacara majlis kerana memerlukan daya kreativiti dan kebolehan untuk bertutur dengan lancar serta berkesan.

Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman antara figura yang bukan asing dalam bidang pengacaraan di Malaysia.

Kepetahan mengacarakan majlis rasmi dan kebijaksanaannya dalam mengendalikan pelbagai acara lain termasuk majlis hiburan serta perkahwinan membuktikan beliau ini begitu versatil.

Pengalaman mengacarakan beberapa majlis rasmi juga mematangkan dirinya dalam mengemudi sesuatu majlis. Tambahan pula dengan kebolehannya menguasai beberapa bahasa asing cukup membuktikan dirinya bergelar seorang pengacara majlis serba boleh.

Pengasas Norish Emcees & Event Production (NEEP), Norish Hassan berkata, kerjaya sebagai pengacara majlis bukan suatu yang mudah kerana peranannya pada hari program penting terutama dalam menjadikan majlis berjalan dengan lancar seperti dirancang.

Katanya, seseorang pengacara majlis perlu bijak dalam mengendali sesuatu majlis sama ada berbentuk formal, tidak formal ataupun mengikut adat istiadat.

“Mereka perlu menyelidik siapa tetamu yang akan datang (mengenali audiens), untuk memastikan bahasa yang akan digunakan adalah betul.

“Jika tetamu itu adalah tetamu diraja, maka perlu menggunakan bahasa istana atau bahasa formal jika majlis itu membabitkan kehadiran menteri Kabinet, Perdana Menteri dan sebagainya,” katanya.

Norish dijemput Institut Koperasi Malaysia (IKKM) untuk berkongsi kemahiran sebagai pengacara majlis bersama 31 peserta koperasi dari sekitar Lembah Klang, Selangor, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan untuk Kursus Pengacaraan Majlis yang diadakan di IKKM, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, profesion itu turut boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan masa ini kerana permintaan untuk mengacarakan sesuatu majlis sangat tinggi.

“Kadar bayaran pengacara majlis bergantung kepada profesional atau amaturnya seseorang MC itu, selain majlis dan tempoh masanya dengan rata-rata mereka dibayar antara RM500 sehingga RM5,000 bagi satu acara.

“Oleh itu, bagi memastikan majlis berjalan sempurna, pengacara majlis perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bidang pengacaraan dengan secukupnya,” katanya.

Kursus sehari anjuran Pusat Pengurusan Perniagaan itu bertujuan memberi pendedahan berkenaan asas protokol pengacaraan majlis, seterusnya kefahaman berkenaan aspek pengacaraan majlis dan memberi pengetahuan mengacara atau mengendalikan sesuatu majlis.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 10:01am
d