bestari

Pelajari etika meja makan

Oleh Fazurawati Che Lah

KEMAHIRAN mengendalikan peralatan di meja makan adalah sesuatu yang perlu dipelajari setiap individu.

Memiliki kemahiran itu menjadikan individu itu berada dalam kelas yang tersendiri.

Perunding Dining Skills, Muhammad Fahmi Md Sabri berkata, kepentingan mempelajari etika meja makan tidak mengira latar belakang pendidikan dan pekerjaan.

Dalam konteks pelajar beliau berkata, kemahiran etika makan perlu dipelajari sebagai nilai tambah dalam proses pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

“Ini penting sebagai pendedahan bagaimana untuk mengurus peralatan di meja makan ketika menghadiri majlis atau jamuan makan.

“Selain itu, ilmu ini juga menyentuh berkenaan tatacara bagaimana untuk berpakaian mengikut tema yang ditetapkan ketika menghadiri majlis,” katanya yang juga pensyarah di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau Melaka (PMM).

Beliau berkata, hari ini terdapat majikan yang mengadakan sesi temu duga ketika waktu makan. Terutama bagi syarikat yang menjalankan urusan perniagaan mereka ketika waktu makan tengah hari mahupun makan malam.

“Walaupun kedengaran seperti tidak formal, ketika waktu makan inilah majikan dapat menilai dengan lebih tepat kemahiran komunikasi dan juga penampilan bakal pekerjanya.

“Bagi usahawan, kemahiran itu menjadikan nilai tambah kepada imej perniagaan mereka,” katanya.

Muhammad Fahmi berkata, biarpun kesedaran etika di meja makan masih baharu lagi di Malaysia, kemahiran itu penting untuk mendidik orang ramai berkenaan tatacara menghadiri majlis rasmi atau tidak rasmi yang sudah pastinya akan mempunyai jamuan makan.

Katanya, pendapatan lumayan bakal diperoleh individu dalam bidang berkenaan sekiranya strategi memasarkan pakej kursus ‘dining skills’ diperluaskan.

“Ilmu dining skills’ ini menjadi lebih menarik apabila digabungkan dengan kursus pembentukan imej profesional, etika dan protokol majlis,” katanya.

Antara kerjaya ditawarkan dalam bidang ini ialah jurulatih bertauliah ‘dining skills’, usahawan, perunding dan pendidik.

Antara tatacara menghadiri majlis

1. Menjawab jemputan ke majlis

2. Kod etika berpakaian yang sesuai dengan majlis

3. Etika ketika memulakan perbualan di sesebuah majlis jamuan makan

4. Etika ketika hendak duduk dan keluar dari majlis jamuan makan

5. Tatacara bagaimana menguruskan peralatan di meja makan

6. Tatacara makan di dalam majlis

7. Perilaku yang sepatutnya ketika berada di dalam majlis

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 10:06am
d