bestari

Teliti semula kurikulum

Oleh Fazurawati Che Lah

PERUBAHAN teknologi dan cara berkomunikasi mengubah landskap dunia kewartawanan.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli berkata, kewartawanan perlu dilihat dalam konteks lebih besar dan bidang itu masih relevan pada masa kini, namun memerlukan suatu penelitian lanjut untuk memastikannya terus berkembang.

“Apa yang berlaku hari ini, masyarakat melihat kewartawanan itu sudah tiada nilai kerana peru­bahan semasa.

“Komunikasi bermula dengan kewartawanan, oleh itu pemahaman terhadap kewartawanan itu memerlukan penerangan yang jitu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Kolokium Kritikan Media ke-40 bertemakan Malaysia Baharu: Arah Mana Pengajian Komunikasi Negara?

Program anjuran FKPM UiTM Shah Alam, Selangor itu dikendalikan 26 pelajar tahun akhir jurusan Kewartawanan.

Mohd Amirul berkata, penganjuran program itu bertujuan mengupas dan meneliti pengajian komunikasi serta kurikulum kewartawanan yang mengalami perubahan semasa.

Beliau berkata, program berusia dua dekad itu membincangkan dan menyemak semula kurikulum kewartawanan selepas lebih 40 tahun pengajian komunikasi bertapak di negara ini.

“Kolokium kali ini menjadi satu topik yang bagus untuk dikupas selepas 48 tahun pengajian komunikasi bertapak di Malaysia.

“Ia memerlukan satu penelitian kerana bidang komunikasi dalam dunia sebenar sudah berubah. Jadi, adakah kurikulum ini perlu disemak semula dengan perubahan semasa?” katanya pada kolokium yang dirasmikan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKPM, Profesor Zulkipli Abu Bakar.

Mohd Amirul berkata, pertukaran tampuk kepemimpinan kerajaan memberikan perubahan layanan terhadap media di negara ini.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ahli akademik bagi meneliti dan menyemak semula kurikulum itu.

Sementara itu, pengarah program kolokium, Naimmullah Jaya berkata, penganjuran program berbentuk wacana ilmu terbabit adalah selari dengan konteks pada masa kini dalam era Malaysia Baharu selepas berlaku pertukaran pimpinan kerajaan pasca PRU-14.

Katanya, kolokium mampu melahirkan pelajar kewartawanan yang berfikiran kritikal dan analitikal dalam membincangkan sesuatu isu.

“Program ini bertepatan dengan inisiatif universiti untuk melahirkan pelajar yang berfikiran analitikal di samping lebih berdikari dan berkesan.

“Memandangkan program ini adalah projek terbesar bagi pelajar kewartawanan, ia menjadi satu persediaan kepada mereka sebelum melangkah ke dalam industri media pada masa akan datang,’’ katanya.

Kolokium itu membariskan tiga ahli panel yang terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri media iaitu Prof Zaharom Nain (pensyarah), Helmi Mohd Foad (pengarang akhbar Wilayahku) dan wartawan bebas, Sumisha Naidu.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 1:32pm
d