bestari

Iftar siswa universiti

Oleh Fazurawati Che Lah

HARI ini lebih dua minggu umat Islam berpuasa. Sudah pasti ramai menadah rasa syukur yang tidak terkira kerana dipertemukan kembali dengan bulan penuh berkat ini.

Sebagaimana selalu, bulan puasa sinonim dengan makanan dan bazar Ramadan. Pelbagai jenis makanan yang jarang ditemui dan sukar dicari pada hari biasa dapat terhidang di depan mata pada bulan ini. Namakan apa saja juadah, lauk-pauk warisan atau makanan tradisi nenek moyang, pasti akan ada.

Media sosial pula menjadi penyebar maklumat paling pantas. Rujuk saja Facebook, Instagram dan Twitter kalau ingin tahu bazar Ramadan mana yang menjual juadah unik serta istimewa untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, jika tidak tahan godaan selera, mungkin akan terlebih belanja dengan membeli banyak hidangan yang menggiurkan pandangan. Mungkin RM20 tidak cukup untuk sekali kunjungan.

Meskipun pelbagai hidangan enak tersaji di depan mata, ramai yang sentiasa beringat untuk berbelanja secara berhemah. Bagaimana pula dengan golongan pelajar, adakah bazar Ramadan menjadi pilihan atau ke masjid saja? Apatah lagi Ramadan antara bulan yang mengajar mereka untuk lebih berjimat cermat.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya (UM), Ahmad Faiz Danish Ahmad Zahiri, 21, masjid menjadi pilihan untuk berbuka puasa kerana ingin menjimatkan wang perbelanjaan.

“Banyak yang dapat saya jimatkan sekiranya tidak ke bazar atau berbuka di luar. Setakat ini, baru dua kali saya membeli juadah untuk berbuka.

“Selain itu, saya juga dapat mengimarahkan rumah Allah, apabila tidak ketinggalan untuk mengerjakan solat berjemaah Maghrib hingga Tarawih,” katanya.

Katanya, sekiranya tidak berbuka di masjid, dia akan pulang ke kediaman keluarga di Subang Jaya, Selangor atau Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, untuk berbuka di masjid, dia dan rakan perlu sampai lebih awal bagi mengelak kehabisan makanan iaitu kira-kira 40 minit awal daripada waktu berbuka.

Penuntut dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Izzudin Rosli, 21, pula berkata, biarpun ibu dan ayahnya mengirimkan wang untuk perbelanjaan pada bulan mulia ini, dia gemar ke masjid untuk merasai kemeriahan berbuka puasa selain mahu berjimat.

Katanya jika ke bazar, kira-kira RM15 atau RM25 perlu disediakan untuk membeli makanan dan minuman berbuka termasuk sahur.

“Jumlah itu agak besar bagi kami sebagai pelajar universiti, jadi lebih baik kita memilih berjimat cermat pada bulan puasa.

“Mungkin tiada pilihan hidangan bufet lauk-pauk pelbagai jenis tetapi apabila berbuka puasa bersama-sama, hidangan yang biasa itu sudah cukup mengenyangkan,” katanya yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pertanian (Akuakultur) itu.

Sementara itu, Amira Natasya Othman, 22, memilih restoran berdekatan

universiti atau bazar Ramadan untuk berbuka kerana mahukan keselesaan.

“Saya cuba kawal perbelanjaan ketika waktu berbuka dan memilih restoran yang menawarkan juadah pada harga berpatutan.

“Saya akan sediakan wang perbelanjaan antara RM10 hingga RM15 untuk berbuka termasuk sahur. Saya akan beli makanan untuk sahur, namun jarang berbuat demikian kerana tidak terjaga sebelum azan Subuh berkumandang,” katanya.

Bagaimanapun, Amira Natasya bersyukur kerana pihak kolej kediaman turut menyediakan juadah percuma kepada pelajar ketika berbuka dan bersahur.

“Juadah itu agak terhad, kalau saya balik awal dari kelas, sempatlah saya ambil makanan itu. Jika tidak, saya dan rakan akan ke bazar atau restoran berdekatan untuk berbuka,” katanya.

Nasi beriani, nasi tomato, ayam ros, daging masak kicap berempah dan kambing kurma termasuk selera Mediterranean iaitu nasi mandy pun ada menanti untuk dijadikan juadah!.

Itu antara tarikan menu juadah berbuka di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) apabila Ramadan menjelma dan sering dinantikan orang ramai dari dalam mahupun luar kampus.

Keunikan dan keistimewaan menu juadah tempatan daripada selera utara hingga selatan dan selera Timur Tengah membuatkan itu sentiasa menjadi perhatian hampir 2,000 jemaah untuk berbuka.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Osman, pihaknya sangat mengalu-alukan kedatangan warga kampus mahupun luar kampus bagi memeriahkan suasana sepanjang bulan mulia ini ke masjid itu.

“Tradisi berbuka puasa sejak 1977 ini sememangnya dinantikan warga kampus, pelbagai juadah menarik disediakan pihak masjid yang menelan perbelanjaan hampir RM6,000 sehari.

“Bagi memeriahkan suasana buka puasa, jemaah yang hadir boleh membawa dulang untuk makan beramai-ramai,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi masjid berkenaan turut menyatakan kemeriahan Ramadan kali ini amat ketara kerana boleh dikatakan hampir setiap hari, ramai siswa yang datang berbuka termasuk pelajar antarabangsa.

“Selain memeriahkan buka puasa, kedatangan pelajar antarabangsa ini juga dapat mengeratkan hubungan warga USM,” katanya.

Katanya, penyertaan sukarelawan mencecah sehingga 40 orang terdiri daripada pelajar, staf dan penduduk kariah sekitar masjid selain sentiasa memberikan komitmen terbaik sepanjang Ramadan.

“Bagi program buka puasa ini, kami masih mengekalkan tradisi gotong-royong sebagai nilai kelestarian yang dipertahankan USM,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 1:37pm
d