bestari

Aplikasi komunikasi LoRa

Oleh Fazurawati Che Lah

PERKEMBANGAN dunia komunikasi menyaksikan perubahan dan penghasilan inovasi terkini sehingga membolehkan interaksi lebih pantas yang melangkaui masa serta jarak.

Rangkaian telekomunikasi masa ini merangkumi telefon yang berintegrasi dengan rangkaian Internet 5G dan Wi-Fi bukan hanya mampu untuk berkomunikasi, malah turut digunakan untuk aplikasi lain yang boleh dikatakan melangkaui pemikiran suatu ketika dahulu.

Melalui Geran Industri Internet of Thing (IoT) bernilai RM119,000 sumbangan Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) yang juga syarikat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan aplikasi rangkaian komunikasi baharu yang dinamakan Long Range communication network (LoRa).

Ketua projek, Datin Dr Nurul Adilah Abdul Latif berkata, LoRa ialah teknik modulasi spektrum tersebar yang diperoleh daripada teknologi spektrum penyebaran mencicip (Chirp Spread Spectrum).

“Peranti LoRa yang digunakan sebagai penghantar dan penerima untuk projek ini adalah teknologi rangkaian tanpa wayar jarak jauh serta berkuasa rendah.

“Peranti ini boleh disambungkan terus dengan teknologi IoT atau pengkomputeran awan,” katanya yang juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan itu.

Beliau berkata, untuk projek itu, sensor persekitaran digunakan bagi tujuan pemantauan.

Katanya, data yang diperoleh daripada sensor itu akan dihantar menggunakan teknologi LoRa di pemancar yang terletak di Pulau Bidong pada frekuensi 921.9MHz dengan kuasa radio isotropik efektif 110Watt.

“Data ini akan melalui garis penglihatan dan zon Fresnel sejauh 23 kilometer terus ke penerima yang terletak di bangunan Kompleks Kuliah Pusat, UMT.

“Di sini, data terus disimpan ke pangkalan data dan seterusnya pengguna dapat melihat data itu secara pemantauan masa nyata,” katanya.

Nurul Adilah berkata, projek berkenaan dapat dikembangkan lagi dengan menggunakan teknologi LoRa yang mana aplikasi pintar IoT itu dapat menyelesaikan cabaran terbesar dihadapi pada masa ini iaitu dari segi pengurusan tenaga, pengurangan sumber semula jadi, kawalan pencemaran, pencegahan bencana serta pelbagai lagi masalah berkaitan.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:37am
d