bestari

USM, NPU jalin kerjasama bangunkan bidang farmasi

Oleh Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) terus menjadi pilihan universiti antarabangsa untuk menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan farmaseutikal apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nihon Pharmaceutical University (NPU), Jepun.

Kerjasama itu turut memperlihatkan persetujuan pertukaran pelajar ijazah tinggi dan kepakaran staf melalui program latihan yang tersusun membabitkan pembangunan bidang farmasi antara kedua-dua universiti.

Pada majlis MoU tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berharap kerjasama itu bakal membuahkan hasil seperti disasarkan memandangkan kedua-dua universiti sealiran bagi membangunkan bidang farmasi melalui penyelidikan dan pendidikan.

“Pihak USM sentiasa mengalukan kepakaran yang dimiliki universiti antarabangsa seperti NPU untuk berganding bahu berkongsi kepakaran seterusnya melonjakkan bidang farmasi kedua-dua institusi ke persada dunia,” katanya .

Pada majlis yang sama, Naib Presiden NPU, Profesor Dr Minoru Tsuzuki berkata, termeterainya kerjasama itu akan membawa kepada hubungan yang lebih erat antara kedua-dua universiti.

Katanya, lebih banyak penganjuran akan dilaksanakan bersama seperti bengkel, program latihan strategik untuk pelajar mahupun staf dan pertukaran bahan penerbitan termasuk gabungan program pendidikan yang bersesuaian.

Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr Habibah A Wahab dan Profesor Dr Ichiro Arai dari Bahagian Sains Farmaseutikal Kampo serta pegawai utama universiti.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 9:40am
d