bisnes

Enjin lebih bersih

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Shell Malaysia melalui Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd melancarkan bahan api terbaru dengan teknologi Dynaflex untuk pasaran Malaysia.

Pengarah Urusannya Shairan Huzani Husain berkata, semua rangkaian petrol dan diesel daripada Shell kini dilengkapi teknologi itu yang direka untuk memastikan enjin lebih bersih dan berfungsi secara efisien.

“Kajian dan pembangunan selama lima tahun dengan jarak ujian lebih tiga juta kilometer adalah usaha kami dalam menjadikan enjin model yang terkini ataupun lama dilindungi sepenuhnya bagi memastikan perjalanan lancar dan berterusan,” katanya pada pelancaran, di sini, semalam.

Teknologi itu berupaya mengurangkan geseran dan berperanan membersihkan komponen dalaman enjin seperti injap dan pancitan bahan api.

Untuk diesel, ia dilengkapi formulasi molekul nyah kotoran baru dengan kandungan sulfur lebih rendah.

Menurutnya, semua bahan api terkini itu boleh didapati di semua stesen Shell seluruh negara juga untuk kegunaan industri dan komersial melalui saluran B2B mereka.

Shell juga bekerjasama dengan Universiti London bagi mengkaji sifat pemandu di negara ini dengan teknologi dan aplikasi terkini memantau lebih 2,500 perjalanan kenderaan di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 1:44am
d