bisnes

Kempen Serikan Ramadan sasar jualan RM30 juta

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: CJ Wow Shop, rangkaian beli-belah inovatif melalui pelbagai platform di rumah menyasarkan jualan RM30 juta melalui kempen jualan terbarunya iaitu Serikan Ramadan dan Raya Bersama WOW dalam tempoh dua bulan penganjuran kempen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kim Yang Hyun berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran itu berikutan jangkaan aktiviti beli-belah dari rumah akan terus meningkat sepanjang Ramadan dan Syawal kali ini.

Menurutnya, pada masa ini rakyat Malaysia dilihat lebih selesa membeli-belah melalui platform dalam talian dan aplikasi mudah alih ditambah pelbagai promosi istimewa ditawarkan.

“Hasil jualan bagi tempoh dua bulan ini adalah penting bagi membantu matlamat kami dalam mencapai peningkatan dua kali ganda jualan berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Serikan Ramadan dan Raya Bersama WOW, semalam.

CJ Wow Shop berjaya mencapai jualan sebanyak RM60 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu sejak beroperasi mulai April 2016.

Dalam perkembangan sama, CJ Wow Shop menawarkan hadiah menarik termasuk empat Proton Ertiga sempena kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama WOW bermula 15 Mei hingga 16 Julai ini.

Beliau berkata, kempen itu memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah bernilai lebih RM300,000 termasuk empat Proton Ertiga dan 10 baucar beli-belah CJ Wow Shop bernilai RM500 setiap satu.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 2:04am
d