bisnes

Naik taraf 221 restoran

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pizza Hut Malaysia merancang untuk menaik taraf 221 rangkaian restorannya di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang bertujuan memaparkan identiti jenama baru serta konsep makan di restoran.

Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Berhad Merrill Pereyra berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menaik taraf 50 restoran dan menyasarkan untuk menaik taraf 100 lagi restoran menjelang hujung tahun ini.

“Langkah ini bertujuan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan selaras dengan pengenalan identiti jenama baru kami sempena 35 tahun Pizza Hut di Malaysia,” katanya pada sambutan ulang tahun jenama itu di sini, semalam.

Sehingga kini, Pizza Hut Malaysia memiliki 391 rangkaian restoran di seluruh negara dengan 221 restoran menawarkan konsep makan di restoran dan makan malam.

Beliau berkata, syarikat menggariskan tiga perkara utama yang akan dilaksanakan sejajar pengenalan identiti baru dan misi Pizza Hut, sekali gus membantu usaha bagi terus mengukuhkan kehadiran jenama itu di pasaran tempatan.

“Selain menaik taraf restoran, kami sedang mengembangkan pengalaman digital bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan dan mengukuhkan aspek pemasaran supaya menjadi lebih relevan dan menyeronokkan,” katanya.

Mengulas pengalaman digital kepada pelanggan, beliau berkata, syarikat melancarkan laman web baru Pizza Hut pada 5 Mei lalu untuk menjadikan carian, pesanan dan pembayaran dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.

Menurutnya, laman web itu menerima maklum balas positif daripada orang ramai apabila mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus dalam lawatan dan 150 peratus bagi pengguna baru.

“Kami bakal melancarkan aplikasi mudah alih bagi melengkapkan laman web sedia ada dalam tempoh tiga bulan akan datang di mana ia kini berada di peringkat akhir pembangunan,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 1:33am
d