bisnes

Tune Protect yakin mampu catat pertumbuhan GWP sehingga dua digit

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Petaling Jaya: Tune Protect Group Berhad (Tune Protect), pembekal insurans digital terkemuka yakin kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia menerusi inisiatif pendigitalan mampu mencatatkan pertumbuhan premium bertulis kasar (GWP) sehingga dua digit menjelang akhir 2018.

Ketua Eksekutif Kumpulannya Razman Hafidz Abu Zarim berkata, memandangkan transformasi digital menjadi fokus utama, pihaknya yakin pertumbuhan dua digit itu boleh dicapai berbanding hanya satu digit tahun ini.

“Berdasarkan kemajuan teknologi yang semakin berkembang, industri insurans turut tidak terkecuali daripada mengalami perubahan pesat kerana persekitaran ini berupaya meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos.

“Kini, pengguna sentiasa mencari syarikat insurans yang memenuhi keperluan mereka dengan cara paling mudah selain mencari
platform yang menawarkan pengalaman digital intuitif.

“Justeru, melalui inisiatif ini, pelanggan AirAsia akan ditawarkan dengan kemudahan yang dipertingkatkan serta kebolehcapaian fleksibiliti sejajar dengan fokus utama untuk meluaskan saluran pengedaran dan memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kolaborasi bersama AirAsia untuk inisiatif pendigitalan, semalam.

Katanya, pendigitalan berkenaan juga akan membantu mengurangkan kos dengan mengoptimumkan operasi dan menyelaraskan keseluruhan proses kumpulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Tan Sri Tony Fernandez berkata, Tune Protect akan memanfaatkan teknologi AirAsia untuk mendigitalkan platform insurans ke arah menyediakan pengalaman lebih lancar kepada lebih 400 juta pelanggannya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 3:46am
d