bisnes

Optimis teroka pasaran asing

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis untuk mencatatkan pertumbuhan sepuluh peratus perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tahun ini berbanding RM145.18 bilion dicatatkan tahun lalu.

Pertumbuhan positif itu dijangka disokong prestasi harga minyak mentah dan komoditi semakin pulih serta kerjasama antara kerajaan dengan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDBG) bagi menggalakkan dagangan antara negara ahli pertubuhan berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) turut membantu mengembangkan keupayaan pembangunan perniagaan di negara ini khususnya kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran OIC.

Beliau berkata, gabungan antara dua entiti sokongan kewangan asing itu menambah saluran syarikat berkaitan kerajaan dan PKS untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan bagi meningkatkan aktiviti menerokai pasaran asing.

“OIC yang terdiri daripada 57 negara memainkan peranan penting bagi mengembangkan aktiviti perdagangan Malaysia dari tahun ke tahun. Setakat tiga bulan pertama 2017, dagangan Malaysia ke negara OIC mencatatkan RM44.97 bilion (AS$10.44 bilion), eksport RM22.78 bilion (AS$5.29 bilion) dan import RM22.19 bilion (AS$5.15 bilion).

“Selain itu, Matrade juga membantu syarikat tempatan untuk melabur ke pasaran OIC dan pada 2016, pelaburan syarikat tempatan ke negara asing meningkat 23 peratus kepada RM8.8 bilion (AS$2.05 bilion) berbanding RM7.06 bilion (AS$1.64 bilion) pada 2015,” katanya selepas menghadiri Seminar Peluang Perniagaan Syarikat Tempatan di OIC di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 3:48am
d