bisnes

Tingkat kesedaran

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan jumlah penduduk yang tidak mempunyai akaun bank kepada lima peratus menjelang 2020. Ketika ini, jumlah berkenaan mencecah lapan peratus.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mengikut angka dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), golongan dewasa yang tidak mempunyai pendapatan atau berpendapatan rendah antara yang tiada akaun bank.

“Lebih separuh daripada jumlah ini terdiri daripada golongan wanita, malah mereka yang berusia 15 hingga 24 tahun juga tidak mempunyai akaun bank rasmi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan meningkatkan keterangkuman kewangan khususnya untuk golongan berkenaan.

“Penggunaan telefon pintar dan akses kepada Internet akan menjadi faktor utama dalam meningkatkan keterangkuman kewangan dan kerajaan akan terus memberi perhatian kepada aspek ini,” katanya selepas perasmian laporan Bank Dunia mengenai keterangkuman kewangan Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama Gabenor BNM Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

Sementara itu, dalam laporan berkenaan, Malaysia berjaya mencatatkan keterangkuman kewangan tertinggi dalam kalangan negara di Asia Tenggara khususnya berikutan polisi berkaitan telefon pintar dan ejen perbankan.

Laporan dikeluarkan Bank Dunia bertajuk, Financial Inclusion in Malaysia : Distilling Lessons for Other Countries antara lain menyebut mengenai pengalaman Malaysia dalam mencapai keterangkuman yang tinggi dalam aspek kewangan.

Pengarah Negara untuk Asia Tenggara Bank Dunia Ulrich Zachau berkata, Malaysia antara contoh negara yang menunjukkan teladan yang baik dalam aspek keterangkuman kewangan.

“Kami akan terus menjalin kerjasama dengan BNM dalam berkongsi amalan yang diguna pakai untuk memperkukuh sektor kewangan supaya pembuat dasar dan pengamal kewangan di seluruh negara dapat mengikut jejak langkah yang sama sebagaimana di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Malaysia turut berdepan cabaran dalam mencapai keterangkuman kewangan seperti direkodkan ketika ini.

“Dua cabaran utama dihadapi adalah cara untuk mendekati populasi yang masih belum terdedah dengan pendidikan kewangan dan bagaimana untuk memastikan mereka yang mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, menggunakan akaun mereka secara aktif,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 3:51am
d