bisnes

Guna ePos pesan makanan dalam pesawat

Oleh BERNAMA

Sepang: Syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia akan memperkenalkan sistem titik jualan elektronik, ePos dalam tempoh lapan bulan lagi bertujuan membolehkan penumpang membuat pesanan dan pembayaran makanan dan minuman (F&B) secara dalam talian ketika dalam penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, sistem ePos yang boleh diakses menerusi perkhidmatan WiFi dalam pesawat, roKKi antara usaha pendigitalan syarikat penerbangan itu bagi mewujudkan perkhidmatan dalam penerbangan yang lebih menarik dan inovatif.

“Ini jauh berbeza daripada sekadar menolak troli makanan, malah memudahkan kami melayan penumpang yang membuat pesanan menerusi telefon pintar masing-masing,” katanya sempena program AirAsia Santan Food Festival, kelmarin.

Beliau berkata, enam peratus penumpang AirAsia menggunakan kemudahan dalam pesawat itu sejak perkhidmatan WiFi roKKi diperkenalkan pada 2014.

Mengenai festival berkenaan, menurutnya, AirAsia sudah menjalin kerjasama dengan 50 syarikat F&B ASEAN yang menawarkan sajian makanan dari sekitar rantau berkenaan.

“Apa yang kami lakukan adalah membawa sajian enak ASEAN bagi memberi pengalaman makanan serba unik. Matlamat kami untuk membawa pengalaman menikmati makanan menyelerakan itu ke dalam pesawat,” katanya.

Katanya, AirAsia turut meninjau kaedah penggunaan bungkusan yang mesra alam selain troli minuman untuk menghidangkan kopi panas dalam pesawat.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 12:48am
d