bisnes

COURTS tawar harga rendah

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

COURTS (Malaysia) Sdn Bhd, peruncit perabot dan barangan elektronik terbesar di Malaysia menawarkan kempen harga rendah yang dijalankan setiap hari dengan tawaran barangan keperluan kediaman serendah RM28 saja.

Kempen yang dinamakan sebagai ‘Harga Rendah Hari-Hari’ itu memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan kediaman mereka pada harga mampu milik untuk barangan berkualiti.

Pengarah Pemasarannya Low Bee Yin berkata, pihaknya mengadakan kempen berkenaan sebagai satu inisiatif untuk membantu pelanggan setia COURTS mendapatkan barangan keperluan walaupun dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Kami percaya ada dalam kalangan pengguna yang perlu mendapatkan barangan ini kerana ia adalah keperluan asas untuk kediaman mereka, namun terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Maka, kempen ‘Harga Rendah Hari-Hari’ ini umpama peluang keemasan bagi pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan kediaman yang diidam-idamkan pada harga mampu milik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memperuntukkan sehingga RM5 juta untuk kempen berkenaan yang akan diadakan sepanjang masa dan bukan untuk masa terhad.

“Kempen ini bermula sejak Mac lalu dengan 15 produk ditawarkan sehingga kini, namun kami merancang untuk menambah jumlah produk yang ditawarkan dengan sasaran 30 produk menjelang akhir tahun ini.

“Malah, sekiranya kehabisan stok, kami akan menawarkan produk sama daripada jenama lain, namun masih mengekalkan harga yang sama,” katanya kepada Bisnes Metro.

Antara produk yang ditawarkan dalam kempen berkenaan adalah cerek yang dijual pada harga RM28, pengering rambut (RM29), seterika wap (RM30), dapur gas (RM38), periuk nasi (RM58), kipas siling (RM99) dan mesin basuh automatik (RM559).

Menurutnya, pihaknya juga akan membuat penilaian semula senarai harga dan produk yang ditawarkan dalam tempoh tiga bulan bagi memberi kelainan dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Untuk senarai penuh produk yang ditawarkan di bawah kempen ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang, www.courts.com.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 2:40am
d