bisnes

Maybank Islamic lancar Ramadan Relief di Malaysia, 3 negara ASEAN

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM4 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) setahun yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, malah di ASEAN.

Terbaru, menerusi Program Ramadan Relief dianjurkan bersama Islamic Relief Malaysia (RIM), Maybank Islamic memperuntukkan RM2 juta membantu lebih 58,000 golongan kurang bernasib baik di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Penasihat Kanan Perkhidmatan Komuniti (CFS) Maybank Islamic Datuk Mohd Hanif Suadi berkata, program itu memasuki tahun kelima dianjurkan Maybank Islamic, namun pertama kali membabitkan golongan kurang bernasib baik di luar Malaysia.

Beliau berkata, rasional pihaknya memberi bantuan di luar Malaysia berikutan Maybank Islamic mempunyai perniagaan di negara berkenaan dan ia satu tanggungjawab sosial untuk menghargai pelanggan di pasaran asing.

“Di Malaysia, seramai 16,000 golongan kurang berkemampuan menerima manfaat program ini yang menyediakan kotak makanan mengandungi pelbagai barangan keperluan asas untuk masakan seperti tepung, beras dan gula.

“Kotak makanan itu diberikan kepada 18,500 penerima di Filipina dan 20,000 mangsa bencana alam di Indonesia manakala 3,400 penerima miskin bandar di Singapura, kita berikan mereka baucar makanan bernilai SGD150 untuk dibelanjakan di 10 premis perniagaan terpilih di negara berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di sini, semalam.

Majlis pelancaran di ibu negara disempurnakan Pengarah Maybank Islamic Datuk Dr Afifi Al-Akiti.

Pelancaran program itu juga diadakan serentak di keempat-empat negara dengan Indonesia menjadi lokasi induk bagi pelancaran rasmi di Jakarta, semalam.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 2:41am
d