bisnes

Strategi produktif

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bank Dunia optimis Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan antara 4.3 dan 4.8 peratus sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sekiranya terus melaksanakan langkah berhemah, strategi kewangan jangka masa pendek dan panjang, memperkukuhkan polisi monetari dan meningkatkan produktiviti.

Malah, bank itu juga melihat sekiranya Malaysia mengambil langkah berkenaan, pertumbuhan KDNK akan terus meningkat berbanding tahun lalu meskipun berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar.

Pengurus Bank Dunia di Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata, dalam setiap langkah berkenaan produktiviti memainkan peranan penting bagi membantu Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada masa depan.

Beliau berkata, mengambil kesempatan dengan perkembangan revolusi industri keempat ketika ini juga boleh membantu Malaysia mengembangkan industri sedia ada dan mempelbagaikan sumber ekonomi.

“Polisi perdagangan turut memainkan peranan bagi memastikan syarikat gergasi dan pemain industri kecil dan sederhana (PKS) dapat seiring menembusi pasaran eksport yang menjadi tulang belakang perdagangan Malaysia.

“Dari segi pelaburan pula, Malaysia perlu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyediakan permintaan yang diperlukan oleh pelabur asing,” katanya kepada media, di sini.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini disokong permintaan kukuh domestik, pertumbuhan ekonomi global yang bertambah baik dan pemulihan harga komoditi global.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, permintaan domestik akan terus dipacu aktiviti sektor swasta yang disokong penawaran pekerjaan berterusan dan pertumbuhan pendapatan.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 12:14am
d