bisnes

Sasar 1,000 pelanggan baru

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Dhome Point Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan laman web dhomestay.com berhasrat untuk menyaksikan pembabitan sehingga 1,000 rumah inap di seluruh negara berbanding hanya 214 setakat ini.

dhomestay.com adalah laman carian untuk rumah inap dan bilik di Malaysia yang dibangunkan Bumiputera bagi memberi kemudahan kepada pengguna membuat carian berkaitan mengikut senarai bandar dan negeri.

Pengarahnya, Mohd Zakwan Ahmad Nawawi berkata, pihaknya membuka peluang kepada pemilik rumah inap di seluruh negara untuk mengiklankan produk mereka di dhomestay.com.

“Dengan penambahan angka rumah inap di laman website kami, kami berharap dapat meraih kepercayaan daripada pemilik rumah inap dan pelanggan, sekali gus mengukuhkan lagi jenama dhomestay.com.

“Walaupun masih baru dalam industri ini, namun kami bercita-cita untuk menjadikan dhomestay.com sebagai antara jenama berkaitan pelancongan dan kembara yang terkemuka pada masa akan datang,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurusnya, Hanis Suraya Jamaludin berkata, dengan tempahan di dhomestay.com, pelanggan juga boleh membuat bayaran secara terus melalui perbankan dalam talian.

“Harga sewaan rumah inap yang ditawarkan berbeza-beza bergantung kepada hari dan tarikh yang dipilih. Bagaimanapun, berdasarkan senarai yang ada setakat ini, dhomestay.com menawarkan harga bermula serendah RM45 sehingga RM550 sehari dengan 10 peratus caj perkhidmatan.

“Menariknya, kami bukan saja tidak akan mengenakan bayaran perkhidmatan pada hari tertentu, malah menyediakan baucar untuk pembelian dalam talian di laman beli-belah, Hauzpoint.com bagi setiap tempahan rumah inap dan bilik,” katanya.

Hanis Suraya berkata, seiring dengan perkembangan teknologi terkini, pihaknya merancang menampilkan aplikasi dhomestay.com dalam usaha memberi lebih kemudahan kepada penggunanya.

Pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman web dhomestay.com selain Facebook (thedhomestay).

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 2:03am
d