bisnes

Bank CCBM buka cawangan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

HUBUNGAN antara Malaysia dan China terus kukuh menerusi penubuhan China Construction Bank Malaysia Berhad (CCBM) di negara ini, sekali gus memberi khidmat dan penyelesaian kewangan yang komprehensif pada pasaran lebih besar di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berkata, CCBM adalah bank komersil asing pertama yang menerima lesen perbankan oleh Malaysia sejak enam tahun lalu di bawah peraturan dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.

Katanya, Malaysia telah menjadi rakan dagang utama dan terbesar bagi China sejak lapan tahun lalu dan yakin di bawah One Belt One Road (OBOR) jumlah dagangan akan terus meningkat.

"Saya percaya dengan kehadiran CCBM akan meningkatkan lagi keyakinan di Malaysia dan memenuhi inisiatif Transformasi Nasional 2050.

"Saya juga berharap CCBM akan menjadi antara salah satu bank yang dapat membantu membiayai projek baru bagi keusahawanan dan syarikat Malaysia yang dinamik," katanya di majlis pelancaran CCBM di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai satu daripada bank komersil utama di China, CCB dikenali sebagai peneraju unggul dalam bidang perbankan borong, runcit, produk pelaburan dan perkhidmatan lain.

Pada 2016, CCB dianugerahkan Bank Terbaik di China oleh Euromoney, tempat kedua dalam senarai 1000 Bank Terbaik di Dunia oleh The Banker.

Pada Mac 2017, CCB memperolehi aset bernilai 21.7 trilion yuan dengan keuntungan bersih bernilai 70.23 bilion yuan dan kini kehadiran CCB di peringkat global telah mencapai 251 rangkaian di 29 negara seluruh dunia.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 3:45pm
d