bisnes

Peluang perbaiki kewangan

Oleh Afyan Mat Rawi

Ramadan adalah bulan terbaik untuk membuat perubahan dalam pengurusan kewangan kerana berpuasa selain mampu memberikan kesihatan untuk tubuh, ia juga adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kewangan kita.

Dengan berpuasa, sepatutnya kita dapat menjimatkan kos belanja makan dan minum. Jika sebelum ini kita makan dan minuman sekurang-kurangnya sehari lima kali, sepanjang Ramadan hanya tinggal dua kali iaitu ketika bersahur dan berbuka.

Kita dapat menjimatkan kira-kira 50 peratus perbelanjaan makan minum sepanjang sebulan berpuasa. Antara hikmah puasa untuk mendidik umat Islam supaya menginsafi nasib saudara seagama di negara yang dilanda kebuluran dan peperangan.

Kita di Malaysia bertuah kerana walaupun berpuasa, masih lagi mempunyai ruang dan peluang untuk makan dan minum apabila selesai menjalani ibadah puasa di siang hari, namun ia bukan lesen untuk kita mengambil segala jenis yang ada di depan mata.

Bazar Ramadan antara cabaran terbesar ketika berpuasa kerana mengunjunginya dalam keadaan lapar menjadikan nafsu lebih berkuasa berbanding akal hingga akhirnya berlaku pembaziran makanan dan minuman.

Jadi, jalan terbaik untuk mengelakkan pembaziran adalah dengan tidak mengunjungi kawasan seperti itu. Itu jalan paling ampuh. Dengan tidak mengunjunginya, maka tidak berlaku pembaziran.

Sepanjang Ramadan, selalunya majikan akan memberikan pelepasan awal untuk pulang ke rumah. Jadi, kita boleh menggunakan kesempatan masa yang ada di rumah untuk memasak juadah berbuka.

Berdasarkan laporan, sebanyak kira-kira 1,000 tan makanan terbuang begitu saja di bulan puasa. Ia sebenarnya statistik yg menyedihkan dan memalukan umat Islam di Malaysia. Begitu juga dengan bufet Ramadan. Dengan kos antara RM30 hingga RM100 seorang bagi 10 hingga 20 menu hanya untuk sekali berbuka, ia hanya pembaziran yang nyata, tidak praktikal dan ekonomi.

Sesekali boleh juga mengambil peluang untuk berbuka di masjid atau surau. Selain untuk berbuka, ia juga sekurang-kurangnya dapat mendekatkan diri kepada Allah. Berbuka secara berjemaah dengan masyarakat setempat juga dapat mengeratkan tali silaturahim sesama umat Islam.

Pada Ramadan juga, jangan dilupa mengenai zakat. Zakat bukan sekadar zakat fitrah, malah zakat lain juga boleh ditunaikan seperti zakat harta, pendapatan, simpanan, perniagaan, emas dan perak serta zakat lain.

Pembayaran zakat pada Ramadan memudahkan kita untuk membuat kiraan haul dan nasabnya kerana ia mengikut bulan dalam tahun Hijrah iaitu 2.5 peratus. Jadi, jika kita membayar zakat setiap kali Ramadan, kita tidak perlu lupa tarikh dan kadar sepatutnya berbanding menunaikannya mengikut tahun Masihi.

Menjelang musim perayaan pula, usahlah terlalu membazir dan terburu-buru untuk bertukar kepada barang baru seperti baju raya, langsir raya, kereta raya dan lain-lain. Jika membeli baju raya, belilah pakaian yang normal dan bukan pakaian ‘hipster’ yang hanya boleh dipakai sekali saja.

Jika membeli baju baru, pilihlah yangg biasa dan boleh dipakai hari-hari supaya masih boleh dikenakan di luar musim perayaan. Begitu juga perabot dan perhiasan rumah. Langsir boleh guna saja yang sudah ada di rumah. Rumah pun tidak perlu diubah suai hanya kerana hendak menyambut raya.

Tidak berbaloi berhabisan wang untuk menyambut raya sehari atau sebulan sedangkan sebelas bulan lain terpaksa menanggung beban hutang, apatah lagi jika mengambil pembiayaan peribadi untuk menyambut raya dilarang sama sekali. Cukup-cukuplah berhutang untuk rumah dan kereta, usah ditambah lagi beban yang sedia ada.

Akhir sekali, rancang dari awal kos untuk balik kampung yang membabitkan petrol, tol dan penyelenggaraan kenderaan bagi mengelakkan kesulitan ketika hari perayaan.

Perancangan awal selain dapat melancarkan perjalanan, ia juga dapat mengelakkan kebocoran poket untuk perkara tidak diingini akibat kerosakan disebabkan kecuaian kita membuat pemeriksaan enjin, tayar dan sebagainya.

Penulis Perancang Kewangan Islami (IFP), INFAQ Consultancy & Advisory

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 8:04am
d