bisnes

Julie's sasar jual 100,000 tin Love Letters

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, pengeluar biskut jenama Julie’s menyasarkan untuk menjual kira-kira 100,000 tin Love Letters edisi terhad sepanjang tempoh sebulan kempen bermula 22 Mei lalu.

Pengurus Pemasaran Julie’s Benny Chia berkata, melalui kempen ‘Titipkan Luahan Kasih Anda’ yang berterusan untuk tahun ketiga berturut-turut, pihaknya masih mengekalkan konsep sama dan berharap dapat menggalakkan orang ramai menyebarkan kasih sayang mereka melalui penulisan.

“Julie’s berharap nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat akan terus bertambah dan kami mengambil berkesempatan melancarkan kuih belanda Julie’s Love Letters edisi terhad yang boleh dijadikan buah tangan ketika mengunjungi sanak-saudara dan rakan taulan sempena Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui sempena siri jelajah di Balai Berita Bangsar, semalam.

Mengenai pembaharuan yang ditampilkan, Benny berkata, sempena Aidilfitri tahun ini, pihaknya menampilkan pembalut istimewa selain pek sampul raya yang mempunyai dua fungsi berbeza.

Beliau berkata, terdapat ruang untuk menulis ucapan pada kedua-dua pembalut istimewa dan sampul raya berkenaan direka khusus untuk pelanggan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Sepanjang tempoh kempen, Julie’s bakal mengadakan siri jelajah ke seluruh negara membabitkan pusat beli-belah, bazar, masjid, pejabat korporat dan stesen LRT.

Bermula hujung minggu ini hingga 18 Jun, kempen ‘Titipkan Luahan Kasih Anda’ akan berada di AEON Big Sutera Mall, AEON Big Putrajaya, Pacific Alor Star, AEON Big Wangsa Maju, AEON Permas dan Mydin MITC Melaka.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 7:51am
d