bisnes

Pelancong pacu industri runcit negara

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) menjangkakan peningkatan jualan runcit melebihi empat peratus pada tahun ini dipacu kehadiran lebih ramai pelancong luar ke negara ini.

Presidennya Datuk Garry Chua berkata, pertumbuhan industri runcit negara kembali meningkat selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2014 yang ketika itu menyaksikan pertumbuhan dua peratus.

Bagaimanapun, katanya, pada 2015, industri runcit mencatatkan pertumbuhan melebihi empat peratus diikuti di bawah empat peratus pada tahun lalu.

“Kami optimis pertumbuhan industri runcit negara meningkat berikutan jangkaan ketibaan lebih ramai pelancong termasuk dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia,” katanya pada sidang media Persidangan Peruncitan MRCA dan Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa (MIRF), semalam.

Beliau berkata, pembangunan banyak pusat beli-belah baru ketika ini tidak akan menjejaskan industri runcit negara, malah mampu melonjakkan lagi industri itu pada masa depan.

“Kami melihat perkembangan itu membantu negara dalam menyediakan kemudahan terbaik bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong luar dan mereka yang menetap di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya.

Sementara itu, MRCA akan menganjurkan MIRF 2017 pada 13 hingga 16 Julai depan di Pusat Pameran Mid Valley membabitkan penyertaan 250 pempamer terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah urus niaga 20 peratus kali ini berbanding RM50 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

“Industri francais kita berpotensi untuk meningkat dengan kadar lebih tinggi kerana pada masa ini ia hanya menyumbang lima peratus daripada jualan runcit berbanding di negara maju iaitu 40 peratus,” katanya.

Sempena MIRF 2017, MRCA turut menganjurkan Persidangan Peruncitan MRCA bertujuan mengukuhkan Inisiatif Runcit Digital (DRI) serta menyediakan peluang menerokai penggunaan perkakasan dan teknologi terkini operasi peruncitan.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 7:38am
d