bisnes

Sasaran proaktif

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pelan strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi tempoh 2017-2022 mula memberikan hasil positif selepas enam bulan dilaksanakan dengan nilai pasaran syarikat pelaburan strategiknya meningkat sehingga RM25 bilion.

Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pelan strategik lima tahun itu yang dibentangkan pada November tahun lalu menetapkan sasaran untuk menjadikan PNB sebagai syarikat pelaburan strategik yang unik dan tersendiri.

Beliau berkata, menerusi pelan berkenaan, digariskan 15 inisiatif yang akan dilaksanakan dan setakat ini, beberapa inisiatif bersepadu sudah dijalankan secara proaktif dalam merealisasikan kedudukan itu pada masa akan datang.

“Dalam tempoh enam bulan ini, satu daripada teras strategik pelan ini kita sudah jalankan di mana ia membabitkan pelaburan mampan yang menekankan lima inisiatif utama mendapat sambutan positif daripada pasaran,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media anjuran PNB, di sini.

Pelan Strategik 2017-2022 atau dikenali Program PNB STRIVE-15 mengandungi 15 inisiatif utama di bawah tiga tunjang iaitu meningkatkan pulangan mampan, pengurusan pelaburan yang efektif dan kecemerlangan operasi.

Strategi itu turut membolehkan PNB terus memberi pulangan yang konsisten dalam pasaran dengan sasaran aset di bawah pengurusan (AUM) RM350 bilion menjelang 2022.

PNB yang ditubuhkan pada 1978 adalah pelabur utama di Bursa Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM170 bilion atau 10 peratus daripada modal pasaran di bursa dalam syarikat utama di Malaysia.

Abdul Wahid berkata, setakat ini kumpulan sedang menguruskan pelaburan berjumlah RM266 bilion di mana 98 peratus daripada nilai berkenaan dilaburkan dalam pasaran domestik manakala selebihnya di luar negara.

“Daripada jumlah itu, 69 peratus pelaburan adalah dalam kalangan syarikat senaraian awam utama di Bursa Malaysia seperti Malayan Banking Berhad (Maybank), Sime Darby Berhad, MNRB Holdings Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad, SP Setia Berhad dan UMW Holdings Berhad.

“Malah, baru-baru ini kita melihat Maybank menjadi syarikat senaraian awam pertama di negara ini mencapai nilai pasaran RM100 bilion yang mampu menjadi pendorong kepada kumpulan untuk menjadi lebih baik lagi,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 6:36am
d