bisnes

Kempen hapus kelaparan 'Add Hope' raih RM21.3 juta

Petaling Jaya: QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR), pengendali rangkaian restoran KFC Malaysia meraih lebih RM21.3 juta dalam inisiatif dijalankan bagi membantu menghapuskan kelaparan melalui kempen ‘Add Hope’ sejak 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif QSR Merrill Pereyra berkata, tahun ini pihaknya berharap untuk mengumpul lebih RM4 juta bagi menyediakan makanan untuk kawasan dilanda kelaparan sama ada dalam atau luar negara.

“Kami sudah mengumpul RM4 juta pada 2016 berbanding RM3.6 juta pada tahun sebelumnya dan berharap untuk mengumpul lebih RM4 juta tahun ini.

“Objektif utama Add Hope untuk mengumpul dana bagi menyediakan bekalan makanan di kawasan dengan masyarakat yang dilanda kelaparan di peringkat tempatan serta luar negara.

“Sebahagian dana diperuntukkan kepada Program Makanan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) manakala sebahagian besar lagi diedarkan kepada rumah kebajikan dan keluarga yang memerlukan di seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran selepas kempen Add Hope, kelmarin.

Menurutnya, kempen itu bertujuan mengumpul dana melalui promosi istimewa, ‘Add Hope Meal’ di semua outlet dengan hidangan di bawah promosi itu akan dicaj 50 sen lebih.

“Add Hope adalah usaha berterusan sepanjang tahun yang tidak terhenti setakat tempoh kutipan dana saja. Bagaimanapun, sumbangan orang ramai tetap menjadi kepentingan utama kempen ini kerana dengan sumbangan itu kami boleh menyediakan bekalan makanan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Kempen Add Hope 2017 adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) global KFC dan sudah memasuki tahun ke-11 penganjurannya di negara ini.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 1:45am
d