bisnes

Pengguna UniFi kini cecah sejuta

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pengguna rangkaian Internet Berkelajuan Tingginya, UniFi mencecah sejuta orang yang juga menjadi pencapaian terpenting kumpulan dalam mencapai status Peneraju Konvergens Negara.

Naib Presiden Eksekutif, Pengguna dan PKS TM, Imri Mokhtar berkata, sudah sekian lama UniFi berkembang secara konsisten dan kini, mencapai kejayaan mengagumkan dengan mencatatkan sejuta pelanggan.

“Kami bersyukur kerana memperoleh pencapaian ini dalam bulan yang mulia ini dan ia tidak dapat dicapai tanpa kerja keras dan dedikasi seluruh warga TM,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, TM akan menyumbang sejumlah RM1 juta kepada 100 organisasi bukan kerajaan (NGO) terpilih seluruh negara yang menjalankan pelbagai bentuk program kebajikan atas nama Keajaiban Sejuta.

“Kami juga ingin mempelawa semua pelanggan UniFi untuk melayari laman web, www.tm.com.my/miraclemillion dan hantarkan nama mereka untuk menyertai inisiatif penuh bermakna ini.

“Malah, pelanggan UniFi yang kesejuta akan diberi penghargaan untuk memilih 10 daripada senarai NGO berkenaan dan kami akan sumbangkan RM10,000 kepada setiap NGO itu atas nama beliau,” katanya.

Menurutnya, bagi menzahirkan penghargaan ke atas kesetiaan dan sokongan semua pelanggan UniFi, pihaknya akan membuka semua saluran HyppTV dan aplikasi HyppTV Everywhere dari 19 Jun sehingga 18 Julai 2017.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 7:54am
d