bisnes

Elak eksport perabot terjejas

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bakal membawa beberapa isu cabaran perdagangan pemain industri pembuat perabot tempatan ke Majlis Eksport Negara bagi meningkatkan pertumbuhan eksport industri berkenaan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah mengenai kekurangan tenaga buruh, kekurangan sumber iaitu kayu getah, bakat dan lesen eksport yang dilihat mengekang pertumbuhan eksport.

Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Malaysia ketika ini antara sepuluh negara utama dunia yang mengeksport produk dalam sektor itu dan cabaran dalam dagangan berkenaan itu boleh mengakibatkan kedudukan negara terjejas.

Beliau berkata, eksport pembuatan perabot tahun lalu mencatatkan RM9.53 bilion dan ia meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya meskipun aktiviti perdagangan dunia berdepan dengan cabaran.

“Di peringkat kerajaan, kami akan terus memantau isu berkenaan dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan nilai eksport produk perabot negara terus meningkat.

“Dari segi unjuran eksport perabot pada tahun ini, kami jangkakan ia terus berkembang melebihi RM10 bilion berikutan kemampuannya meningkat pada kadar lima peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku sama tahun sebelumnya kepada RM2.50 bilion,” katanya pada majlis pelancaran Pameran Jualan Perabot dan Kelengkapan Malaysia (MF3), di sini.

MF3 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 16 hingga 18 Jun lalu disertai 100 pempamer dan lebih 300 jenama perabot serta kelengkapan ditawarkan kepada pengunjung.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 7:59am
d