bisnes

Unggul kali ke-9

Oleh Noor Azam Abd Aziz

AirAsia kekal sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-sembilan berturut-turut pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2017.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu dinobatkan juara pada majlis Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2017 di Musée de l’Air et de l’Espace di Lapangan Terbang Le Bourget, di sini, kelmarin.

Anugerah sempena Pameran dan Pertunjukan Udara Antarabangsa Paris itu diterima Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan diiringi duta AirAsia David Foster serta pemain bola sepak Brazil Roberto Carlos.

Foster adalah penerbit, pemuzik, penulis lagu dan komposer antarabangsa terkenal manakala Carlos adalah pemain yang membantu Real Madrid menjuarai empat gelaran La Liga Sepanyol serta pemain pasukan Piala Dunia Brazil 2002.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, ASEAN mencipta rekod dunia dalam industri penerbangan.

“Kita meraih gelaran juara dunia sebanyak sembilan kali berturut-turut. Sebagai perspektif, Brazil memenangi Piala Dunia FIFA lima kali, Michael Jordan menjuarai NBA enam kali dan Michael Phelps memegang rekod tempat pertama paling banyak dalam acara Olimpik dengan lapan pingat emas.

“Kami mengambil gelaran juara dunia ini dengan serius dan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada tetamu serta pemegang saham kami.

“Sepanjang 15 tahun lalu, kami sudah mencipta jenama hebat dan untuk 15 tahun akan datang, kami ingin memacu ke arah ‘One AirAsia’ iaitu syarikat penerbangan beridentitikan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya ingin menjadi syarikat penerbangan digital menggunakan teknologi bagi meningkatkan tambah nilai.

“Kami meminta jasa baik Foster dan Roberto untuk mengiringi Suhaila bagi memberi inspirasi kepada kakitangan dan memberi yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan,” katanya.

Pada majlis sama, AirAsia X turut memenangi anugerah Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Kerusi Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kelima berturut-turut.

Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz mewakili syarikat berkenaan menerima anugerah itu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar.

Digelar sebagai Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 19.9 juta undian pelanggan diterima dari 105 negara.

Ia mengukur piawaian 49 prestasi utama barisan produk dan perkhidmatan syarikat penerbangan.

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 6:38am
d