bisnes

Agih rezeki RM332j

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan dana harga tetap ASNB iaitu Amanah Saham Didik (ASD) dan dana harga berubahnya, Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2).

Pengagihan pendapatan ASD membabitkan pembayaran RM332.7 juta yang akan memberi manfaat kepada hampir 300,000 pemegang akaun yang memegang 5.54 bilion unit.

Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, setakat 31 Mei 2017, ASD mencatatkan pendapatan bersih RM275 juta, yang sebahagian besarnya diperoleh melalui keuntungan modal (RM201.85 juta) dan pembayaran dividen (RM108.88 juta).

“Pemegang unit ASD akan menerima pengagihan pendapatan 6 sen seunit, manakala pemegang ASN 2 unit akan menerima pengagihan pendapatan 3.1 sen seunit,” katanya pada majlis pengumuman pendapatan ASD dan ASN 2, di sini, semalam.

Menurutnya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASD adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangannya, sementara untuk ASN 2, pengagihan pendapatan dikira berdasarkan unit yang dipegang pada hari terakhir tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun 2017.

Manakala bagi pengagihan pendapatan ASN 2 pula, membabitkan pembayaran RM45.8 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 24,000 pemegang akaun yang memegang 1.48 bilion unit.

Setakat 31 Mei 2017, ASN 2 sudah mencatatkan pendapatan bersih RM49 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM22.45 juta yang dicapai pada tahun kewangan lalu, terutamanya disebabkan kenaikan pasaran dan pemilihan saham yang kukuh.

Dividen 3.10 sen untuk ASN 2 adalah hasil dividen 5.0 peratus yang menyumbang kepada Jumlah Pulangan 11.9 peratus setakat ini. Prestasi kukuh ASN 2 adalah sejajar dengan strategi pemfokusan semula terhadap Dana Harga Berubah-ubah untuk menawarkan Jumlah Pulangan kepada pemegang unit selain pulangan dividen semata-mata.

Pembayaran agihan pendapatan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2017. Bagi ASN 2, unit akan dikreditkan berdasarkan nilai aset bersih (NAV) pada 30 Jun 2017.

Semua urus niaga untuk ASD dan ASN 2 di ibu pejabat, cawangan dan ejen ASNB akan ditangguhkan dari 23 Jun 2017 sehingga 2 Julai 2017 untuk memudahcara pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemaskini akaun mereka apabila urus niaga bermula semula pada 3 Julai 2017 di mana-mana pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 6:43am
d