bisnes

Peneraju sukuk

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka akan terus menjadi negara yang terkehadapan dalam sektor kewangan Islam apabila kekal sebagai peneraju pasaran dalam penerbitan sukuk global.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tahun lalu Malaysia menguasai pasaran sebanyak 41.1 peratus daripada keseluruhan sukuk bernilai AS$72.9 bilion yang sudah diterbitkan pada 2016.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai pusat kewangan Islam, Malaysia perlu kekal kompetitif dan menerajui segmen baru dalam kewangan Islam seperti Sukuk Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI).

“Untuk meningkatkan penerbitan Sukuk SRI di Malaysia, saya berpandangan bahawa persekitaran yang kondusif sewajarnya diwujudkan.

“Berikutan itu, saya mencadangkan supaya kajian dilakukan membabitkan usaha mewujudkan geran atau peruntukan khas bagi menampung kos tambahan yang ditanggung oleh penerbit Sukuk SRI berbanding kos terbitan sukuk biasa,” katanya selepas melancarkan bahagian kedua Sukuk SRI Khazanah Nasional bernilai RM100 juta di sini.

Menurutnya, sebagai contoh, sekiranya penerbit terpaksa menanggung kos tambahan RM50,000 untuk menerbitkan Sukuk SRI, kos itu akan ditanggung dengan memanfaatkan geran atau peruntukan berkenaan.

Katanya, dengan adanya insentif sedemikian, lebih banyak Sukuk SRI dapat diterbitkan di Malaysia, sekali gus memperkasakan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam.

“Malah, ia turut menambah satu lagi lembaran baru dalam pasaran modal Malaysia melalui pembiayaan beretika. Memandangkan bidang ini agak baru dalam pasaran modal global, terdapat potensi yang besar untuk Malaysia memainkan peranan utama,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Sekuriti juga menerima maklum balas positif daripada beberapa pihak yang berminat untuk menerbitkan Sukuk SRI berkaitan tenaga boleh diperbaharui serta projek hijau.

“Jika semua berjalan dengan lancar, dalam tempoh enam bulan akan datang, kita dapat menyaksikan penerbitan beberapa program Sukuk SRI yang dianggarkan berjumlah antara RM5 hingga RM10 bilion di pasaran modal Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 8:30am
d