bisnes

Pertumbuhan 15%

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Syarikat tekstil terbesar, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) optimis untuk mencapai pertumbuhan jualan 15 peratus atau RM1.25 bilion bagi segmen tekstil menjelang hujung tahun ini berdasarkan prestasi jualan semasa yang memberangsangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran berkenaan pada tahun ini berbanding RM1.1 bilion jualan yang diraih pada tahun lalu.

Beliau berkata, meskipun sentimen dalam kalangan pengguna dilihat masih berhati-hati pada tahun ini, namun dengan perancangan dan pelan promosi yang strategik, syarikat berpeluang menyediakan tawaran terbaik kepada pelanggan.

“Kami sentiasa positif dengan pasaran dan sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi memberi peluang kepada semua pelanggan Jakel berbelanja pada harga mampu milik.

“Pendekatan terbaik dengan menawarkan promosi menarik di samping kualiti tekstil yang berkualiti tinggi seperti sesi Happy Hour yang kita adakan pada waktu tertentu,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, antara strategi yang dilaksanakan syarikat termasuk menampilkan koleksi Jakel Barulah Raya 2017 buat kali pertama dengan menampilkan selebriti duta raya Jakel untuk mempromosikan koleksi pakaian raya sempena Aidilfitri tahun ini.

Lebih menarik, koleksi baju raya tahun ini menampilkan baju Melayu, kurta, baju kurung, baju kanak-kanak, baju berkonsep kekeluargaan dan koleksi Schawalara yang semua baju itu menampilkan rekaan di bawah label Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Awal Ashaari, Hairul Azreen, Ayda Jebat, Hanis Zalikha, Scha Al-Yahya, Lara Alana, Yusuf Iskandar dan Rozita Che Wan.

Mohamed Faroz berkata, bagi merancakkan perjalanan pertumbuhan syarikat, pada tahun ini, pihaknya memperuntukkan pelaburan tambahan antara RM10 hingga RM15 juta berbanding RM10 juta tahun lalu,” katanya.

Selain mempunyai teras perniagaan utama dalam bidang tekstil, Kumpulan Jakel menerusi anak syarikat dalam segmen hartanah, Jakel Properties Sdn Bhd turut membina bangunan Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) Selangor dengan anggaran kos RM144.2 juta.

Projek itu membabitkan satu blok menara 20 tingkat yang moden menyediakan 23 ruang kerja serta dilengkapi kemudahan ruangan perbankan, surau dan dewan yang dijangka siap pada 2018.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 7:36am
d