bisnes

Prestasi positif

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Berhad (MAB) yakin untuk kembali mencatatkan keuntungan pada 2018 seperti yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Semula MAS yang dimulakan sejak 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew berkata, pihaknya sentiasa optimis dapat merealisasikan kedudukan itu melalui pelbagai inisiatif dan perancangan yang dilakukan bagi menjadikan MAB sebagai syarikat penerbangan nasional yang unggul di peringkat antarabangsa dan domestik.

Beliau berkata, meskipun separuh pertama tahun ini dilihat begitu mencabar bagi MAB namun keadaan itu dijangka kembali pulih di mana seperti kebiasaan pada separuh kedua perniagaan.

“Kami di MAB sentiasa bekerja keras dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan syarikat penerbangan ini untuk mencapai keuntungan pada 2018 dan yang penting ketika ini adalah usaha untuk merealisasikannya.

“Buat masa ini, semuanya berjalan lancar dan kami tidak mempunyai perancangan bagi sebarang pertukaran dalam bidang digital. Apa yang pasti, kami sedang berada di landasan tepat dan terus fokus ke hadapan,” katanya.

MAB kini melalui proses transformasi dalam usaha penstrukturan semula syarikat itu di bawah 12 Pelan Pemulihan MAS (MRP) untuk tempoh lima tahun yang dilancarkan pada 29 Ogos 2014 bagi memastikan ia dapat kembali pulih daripada kedudukannya ketika ini dan menjadi syarikat penerbangan unggul.

Setakat ini, bagi melicinkan operasi bagi penerbangan luar negara, domestik dan kargo, MAB mengendalikan penerbangan dengan 54 pesawat Airbus 737, 15 pesawat A330, enam pesat superjumbo A380 dan tiga pesawat kargo jenis A330.

Bagi suku keempat 2016, MAB mencatatkan faktor muatan penumpang (PLF) sebanyak 80 peratus berbanding 70 peratus pada suku sama tahun sebelumnya selain turut merekodkan 90 peratus PLF bagi Disember tahun lalu.

Selain itu, purata tambang turun tiga peratus kepada RM484 bagi setiap penumpang suku ke suku manakala pertumbuhan trafik meningkat lima peratus kepada 3.8 juta penumpang bagi suku keempat 2016.

Beliau berkata, syarikat turut menjangkakan untuk membawa kira-kira lebih 17 juta penumpang pada tahun ini, sekali gus melihat peluang untuk mengembangkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan lima bintang menjelang 2018.

Sebelum ini, media melaporkan MAB berhasrat membeli pesawat bersaiz besar daripada Airbus atau Boeing pada suku pertama 2018 bertujuan menambah bilangan tempat duduk serta meningkatkan kualiti produk bagi laluan sedia ada.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 7:41am
d