bisnes

42 peratus tempatan

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mencatatkan 9,918 permohonan harta intelek tempatan iaitu 42 peratus daripada 23,403 permohonan diterima pada separuh pertama tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan yakin jumlah berkenaan akan meningkat menjelang hujung tahun ini selaras aktiviti promosi dan khidmat nasihat yang giat dijalankan.

Beliau berkata, perkembangan landskap harta intelek masa kini memberikan impak besar dan ketara kepada dunia membabitkan aspek kehidupan serta aktiviti dijalankan.

“MyIPO mengambil inisiatif mendekati usahawan menerusi program IP Easy bagi memudah cara pereka cipta.

“Program ini membantu usahawan memanfaatkan peluang bagi mendapatkan gambaran mengenai proses permohonan seterusnya memfailkan permohonan pendaftaran harta intelek masing-masing,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh pada majlis perasmian Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2017 kali ke-12, di sini, semalam.

Penganjuran kali ini menyaksikan 518 penyertaan diterima daripada sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah dan individu, sekali gus menjadikan ia tertinggi sejak penganjuran kali pertama pada 2006.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali, Pengerusi MyIPO, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Shamsiah Kamaruddin.

Majlis itu menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat emas bagi kategori organisasi, Pengurusan Harta Intelek Terbaik manakala Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd, pengeluar kandungan Didi & Friends mendapat pingat emas untuk kategori Hakcipta.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 3:38am
d