bisnes

Sejuta pelanggan

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) yakin mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini melalui pertambahan langganan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau UniFi khususnya dengan perubahan gaya hidup dan cara kerja pengguna.

Naib Presiden Eksekutif Pengguna dan PKS TM Imri Mokhtar berkata, sejak diperkenalkan pada 2010, UniFi terus mencatatkan peningkatan jumlah langganan dengan sebahagian besar dalam kalangan pengguna individu untuk kegunaan di kediaman.

“Mula diperkenalkan tujuh tahun lalu, UniFi mencapai langganan sehingga 500,000 dalam tempoh empat tahun dan kini berjaya mencapai angka sejuta pelanggan.

“Kami yakin jumlah ini akan terus meningkat pada masa akan datang khususnya dengan perubahan gaya hidup dan cara kerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan kediaman yang lebih tertumpu kepada kandungan digital,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, sebahagian besar jumlah pelanggan UniFi adalah kalangan pelanggan kediaman.

“Setakat Jun tahun ini, jumlah pelanggan PKS sekitar 180,000 dan selebihnya pelanggan kediaman,” katanya selepas majlis meraikan pelanggan ke sejuta dan penyerahan cek kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini, semalam.

Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan cek bernilai RM1 juta kepada 100 NGO seluruh negara melalui kempen #KeajaibanRamadan pelanggan UniFi yang ke sejuta, Ahmad Nor Sabu berpeluang menyerahkan sumbangan kepada 10 NGO yang dipilih sendiri.

Malah, menerusi kempen #KemeriahanSyawal, TM tidak menganjurkan sambutan Raya Korporat tahun ini, sebaliknya menggunakan dana majlis berkenaan sebanyak RM300,000 untuk disumbangkan kepada 15 NGO.

Ahmad Nor turut menerima kejutan daripada TM melalui hadiah pakej kediaman pintar meliputi keselamatan kediaman.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 2:53am
d