bisnes

Tangani isu cukai pegangan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan kumpulan kerja membabitkan kerjasama pakar industri bagi memberi maklumat dan mengumpul pandangan teknikal dalam menangani kebimbangan berkaitan dengan penggunaan cukai pegangan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada masa ini kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil kerajaan, persatuan dan firma perakaunan utama membangunkan satu garis panduan untuk memberi penerangan mengenai pelaksanaan dan aspek teknikal cukai pegangan.

Katanya, semua pihak harus bekerjasama mewujudkan budaya cukai yang baik dalam kalangan rakyat, institusi dan komuniti perniagaan.

“Kami akan terus membabitkan orang ramai untuk memupuk kepercayaan dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk perbincangan. Apabila kami dimaklumkan ada komuniti perniagaan mempunyai kebimbangan berhubung penggunaan cukai pegangan, saya memberi arahan untuk menubuhkan kumpulan.

“Malah, saya didekati pelbagai dewan perniagaan serta wakil syarikat yang meminta pengecualian cukai dan jika ada merit dalam setiap permohonan, kami akan mempertimbangkannya untuk menyediakan asas pengecualian berdasarkan kes demi kes,” katanya di Persidangan Cukai Kebangsaan 2017, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Datuk Sabin Samitah.

Johari berkata, lebih banyak tindakan perlu dilakukan masyarakat untuk memasukkan budaya cukai inklusif.

“Bagi orang ramai, kita mesti mengubah budaya kita secara beransur-ansur dan perlu diingat bahawa sumbangan kita akhirnya akan digunakan untuk faedah kita sendiri.

“Malah, ia untuk membantu orang lain di sekeliling kita dan memajukan pertumbuhan negara. Jadi, kita harus bangga setiap kali kita menjalankan tugas kita (membayar cukai),” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan Bajet 2018, beliau berkata, pihaknya dalam proses dialog dan beberapa perkara dalam semakan.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 3:33am
d