bisnes

TNGSB promosi kaedah bayaran tanpa tunai dengan Coca-Cola [METROTV]

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) memperkenalkan kemudahan pembayaran tanpa tunai di mesin layan diri bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.

Ia dihasilkan menerusi kerjasama peneraju kemudahan pembayaran elektronik tempatan dengan pengendali mesin layan diri automatik iaitu Ventaserv Sdn Bhd dan Cola-Cola Refreshments (M) Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar jenama popular Coca-Cola.

Ketua Pegawai Operasi TNGSB Farilla Abdullah berkata, kerjasama itu adalah inisiatif TNGSB ke arah mempromosikan budaya pembayaran tanpa tunai dalam gaya hidup pengguna masa kini.

“Usaha sama itu sekali gus menjadikan penggunaan kad Touch ‘n Go pertama di rangkaian mesin layan diri Ventaserv yang menawarkan pelbagai pilihan minuman jenama Coca-Cola.

“Kemudahan dibawakan Touch ‘n Go ini mampu memberi manfaat kepada pelanggan dan perniagaan dalam memudahkan urusan harian serta menjadikan urus niaga selamat dan cepat,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ventaserv, Sophia Lim dan Pengarah Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Coca-Cola, Belinda Ford.

Menurutnya, TNGSB sentiasa mempertimbangkan kerjasama berpotensi pada masa depan untuk diketengahkan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.

Lim berkata, syarikatnya adalah pertama di Malaysia dalam melaksana dan menjalankan perniagaan mesin layan diri dilengkapi dengan sistem pintar.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 3:42am
d