bisnes

Pacu e-dagang

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Usaha kerajaan menerusi inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) serta Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) berupaya untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan segmen e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih bersepadu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dua inisiatif berkenaan selaras dengan agenda kerajaan dalam memacu ekonomi digital nasional yang menjangkakan sumbangan e-dagang antara sembilan hingga 10 peratus pada 2020.

Beliau berkata, e-dagang mempunyai potensi besar dan yakin ia dapat memberi pulangan serta sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi digital negara.

“Jika kita lihat pada 2015, KDNK negara adalah sekitar 5.4 peratus dan sekiranya kita tidak melakukan apa-apa tindakan ataupun perniagaan dijalankan seperti biasa tanpa ada perubahan, ia hanya mampu mencapai paras 6.4 peratus sahaja pada 2020.

“Segmen e-dagang pada ketika ini dilihat berkembang pesat dengan semakin ramai rakyat mendapat liputan Internet dan menjadi penting dalam kehidupan seharian, sekali gus membuktikan kita mampu mencapai ekonomi digital yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan Forum e-Dagang Kebangsaan dan Mesyuarat Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) serta pelancaran platform atas talian Go eCommerce, di sini, semalam.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Menteri MITI Datuk Chua Tee Yong dan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) Datuk Yasmin Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Hafsah Hashim.

Forum berkenaan turut menghimpunkan 1,000 peserta dengan 50 pempamer daripada pelbagai segmen e-dagang termasuk Lazada, AgroBazaar Online, MOLPay, IPay88, Pos Malaysia, GDEX, SkyNet, Webshaper, Sitegiant dan para usahawan atas talian.

Mustapa berkata, pembangunan PKS akan terus menjadi tumpuan utama di bawah agenda transformasi digital kerajaan di mana inisiatif DFTZ akan memberi tumpuan kepada menyediakan platform yang canggih bagi perusahaan untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Katanya, usaha itu sekali gus dapat menghakis dakwaan zon perdagangan terbabit hanya memberi manfaat kepada pemain asing dan menggalakkan kemasukan lebih banyak produk yang diimport.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 3:23am
d