bisnes

Keputusan strategik pelaburan hartanah

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Seperti lain-lain industri, pasaran hartanah juga ada turun dan naik tetapi yang menariknya, tiada siapa yang berhenti daripada membuat pelaburan.

Persoalannya adalah bila, di mana dan jenis hartanah bagaimana untuk melabur? Dengan kecanggihan teknologi yang menghasilkan kebanjiran maklumat dalam kalangan orang ramai, bagaimana mereka membuat keputusan strategik sama ada untuk membeli, menjual atau menyewa.

Pengasas Khalil Adis Consultancy yang juga bekas pengarang Property Report Khalil Adis berkata, memantau perkembangan industri hartanah di Malaysia adalah sesuatu yang sukar terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang ini.

“Pada pameran hartanah akan datang, saya akan membincangkan lapan trend hartanah yang perlu dipantau oleh setiap pelabur untuk baki tahun 2017,” katanya.

Khalil antara 30 penceramah dan pakar hartanah yang akan menyampaikan taklimat serta menyertai forum sempena Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah bermula 4 hingga 6 Ogos ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Ketua Pelaburan Axis REIT Managers Berhad dan bekas Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Siva Shanker pula akan menyentuh perubahan trend hartanah di Malaysia.

Beliau berkata, trend pasaran hartanah berubah dalam 40 tahun ini dan kadar perubahan semakin meningkat terutamanya sejak kebelakangan ini.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 3:46am
d