bisnes

Limpahan nikmat

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Wilayah Iskandar terus memberi manfaat kepada penduduk setempat hasil limpahan pelaburan ke wilayah ekonomi selatan itu terutama membabitkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ini terbukti menerusi Program Inovasi dan Akses Kewangan PKS yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) pada 2016 yang menunjukkan hasil positif apabila pendapatan golongan itu melonjak 7.9 peratus secara purata pada tahun berkenaan.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata, hasil pengenalan program itu turut membantu melonjakkan indeks pendapatan keuntungan sektor mencecah 5.8 peratus pada tahun lalu meskipun ekonomi negara berdepan dengan cabaran.

Beliau berkata, IRDA turut meneruskan usaha menjadi pemudah cara kepada PKS setempat dan hasilnya sebanyak 73 PKS menerima pengiktirafan berkualiti, sekali gus membantu memperkukuhkan imej penjenamaan golongan berkenaan.

“Selain itu, kami juga mempunyai program DropCash yang dianjurkan di pelbagai lokasi di negeri ini untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai strategi perniagaan dan pemasaran dalam talian.

“Program ini terdiri daripada tiga fasa iaitu melahirkan 1,000 usahawan muda dalam talian pada tahun pertama, 300 usahawan yang boleh mengembangkan perniagaan mereka di bazar atau kios selepas enam bulan dan ketiga membabitkan 50 usahawan yang boleh menjalankan perniagaan di kedai atau premis lain,” katanya, di sini.

Ismail berkata, bagi mencapai matlamat fasa pertama, Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) menganjurkan Kursus Pemasaran Internet untuk 1,000 usahawan dalam talian kepada golongan muda untuk mempelajari perniagaan dalam talian.

Katanya, bagi fasa kedua, 300 usahawan muda dipilih untuk menerima geran persediaan perniagaan kios mini dan pengeluaran bahan pemasaran.

“Geran berkenaan diserahkan pada 5 September tahun lalu di EDC Johor, Bandar Baru Uda. Bagi fasa ketiga, kemajuan sedang dibuat untuk membantu 100 daripada 300 usahawan muda untuk mempelajari perniagaan borong daripada pasaran borong,” katanya.

Sementara itu, dari segi pencapaian pelaburan, IRDA berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan RM383 bilion tarikan pelaburan terkumpul menjelang 2025 dengan ketika ini merekodkan pencapaian 60 peratus daripada jumlah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 3:54am
d