bisnes

Bina 15,000 rumah mampu guna sistem IBS

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Tropicana Corporation Bhd (Tropicana) memperkenalkan produk terbarunya iaitu Tropicana Urban Homes untuk memenuhi keperluan rumah mampu milik dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana di negara ini.

Melalui produk itu, Tropicana membina 15,000 rumah mampu milik berkonsep moden membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Yau Kok Seng berkata, syarikat itu akan memanfaatkan penggunaan Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi membina rumah berkualiti dalam tempoh lebih pantas.

“Produk ini adalah salah satu usaha kami membantu agenda kerajaan dalam menyediakan sejuta unit rumah mampu milik menjelang 2020 yang mana ia disasarkan kepada pembeli rumah pertama dan generasi Y,” katanya pada majlis pelancaran Tropicana Urban Homes di sini, semalam.

Untuk permulaan, Tropicana merancang untuk melancarkan dua projek rumah mampu milik di Tropicana Aman, Kota Kemuning dan Tropicana Height, Kajang menjelang September ini dengan GDV keseluruhan RM1.7 bilion.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan pembinaan sebanyak 1,025 unit (Tropicana Height) manakala 3,000 unit (Tropicana Aman).

Menurutnya, harga yang bakal ditawarkan bagi rumah mampu milik terbabit adalah antara RM300,000 hingga RM500,000 dengan keluasan bermula 650 kaki persegi (1+1 bilik) hingga 1,000 kaki persegi (tiga bilik).

“Semua rumah mampu milik kami akan dibina di kawasan bandar strategik dan memiliki kemudahan diperlukan tanpa berkompromi terhadap kualiti binaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 2:36am
d